Budak Lelaki BiruDiterjemahkan oleh Ain Jaafar |
|
|
Nun jauh di sebalik
bintang-bintang, segala-galanya amat berbeza dari sini. Dan lebih jauh
lagi, semuanya adalah jauh lebih berbeza dari di sana, di mana
segalanya-galanya amat berbeza dari sini. Tetapi jika kamu terbang
jauh, jauh lagi ke hadapan, ke tempat di mana semuanya betul-betul berbeza
dari di merata-rata tempat, barangkali keadaan di sana hampir serupa
dengan di sini. Barangkali, di tempat yang jauh ini, terdapat sebuah planet sebesar Bumi kita, dan barangkali penduduk yang tinggal di planet ini mempunyai wajah yang hampir serupa dengan kita, melainkan mereka berkulit biru dan boleh melipat-tutup telinga mereka apabila mereka tidak mahu mendengar apa-apa. Dan barangkali perang
meletus di planet yang jauh ini, dan ramai orang kulit biru yang mati.
Ramai menjadi anak yatim piatu, dan di tengah-tengah runtuhan salah sebuah
rumah yang dimusnahkan oleh bom ada seorang budak lelaki biru duduk
menangis kerana ibu dan ayahnya telah terkorban. Cukup lama dia duduk
menangis di situ, namun dia berhenti akhirnya kerana sudah kering air
matanya. Dia menarik kolarnya ke atas, memasukkan tangan ke dalam saku dan
meninggalkan tempat itu. Bila dia terpandang batu, dia menendang batu itu,
dan bila dia terpandang bunga, dia memijak bunga itu. Seekor anjing kecil
mendekatinya, memandang kepadanya, dan mula menggoyang-goyangkan ekornya.
Kemudian ia berpusing dan mula berjalan di sebelah budak lelaki itu,
seolah-olah ia telah memutuskan untuk menemaninya. "Pergi!" kata budak
lelaki itu kepada anjing itu. "Kau harus pergi. Jika engkau tinggal
bersamaku, aku terpaksa menyayangimu, dan aku tidak mahu lagi menyayangi
sesiapa pun sepanjang hayatku." Anjing itu memandang
kepadanya dan menggoyangkan ekornya kegirangan. Budak lelaki itu
kemudiannya menjumpai selaras senapang patah yang terletak di sisi seorang
askar yang tidak bernyawa. Dia mengambil senapang itu dan menunjukkannya
kepada anjing itu. "Senapang ini boleh membunuhmu!" kata budak itu
dengan nada marah. Anjing itu pun lari. "Aku akan membawamu
bersamaku!" kata budak lelaki itu kepada senapang tersebut. "Kau akan
menjadi teman baikku." Dan dia menembak ke arah sebatang pokok yang
sudah mati dengan senapang itu. Dia kemudiannya menjumpai
sebuah skuter terbang yang terbiar di sebuah padang. Dia menaiki skuter
itu dan cuba menghidupkannya. Skuter itu masih berfungsi. "Sekarang aku ada
senapang dan skuter terbang," kata budak lelaki itu. "Mereka adalah
keluargaku. Aku juga boleh memiliki seekor anjing, tapi ia mungkin
terkorban, nanti aku tentu akan mati menangisinya." Dia terbang menggunakan
skuternya sehingga dia ternampak sebuah rumah serta asap yang keluar dari
serombongnya. "Ada orang yang masih tinggal di situ," kata budak itu.
Dia mengelilingi rumah itu dan melihat ke dalam menerusi tingkap. Di dalam
hanya terdapat seorang perempuan tua yang sedang memasak sesuatu. Budak lelaki itu
meletakkan skuternya di hadapan rumah itu, lalu mengambil senapangnya dan
masuk ke dalam. "Aku ada senapang!" katanya kepada perempuan tua itu.
"Makcik mesti beri aku makan!" "Marilah, makcik memang
akan beri engkau makan," kata perempuan tua itu. "Engkau boleh simpan
senapangmu." "Aku tak mahu makcik
berbuat baik kepadaku!" jawab budak itu dengan nada marah. "Senapangku
boleh membunuh makcik!" Maka perempuan tua itu
memberinya makan, dan budak itu kemudiannya meninggalkan tempat itu. Begitulah kehidupan budak
lelaki itu sekarang. Dia membina sebuah tempat persembunyian di dalam
sebuah rumah yang terbiar. Apabila dia berasa lapar, dia terbang ke tempat
yang didiami orang, dan dengan senapangnya memaksa mereka memberinya
makan. Pada lain masa, dia
terbang ke medan perang yang terbiar dan mengumpulkan bahagian-bahagian
daripada senjata dan kereta kebal dan trak yang ditinggalkan di sana. Dia
membawa pulang kesemuanya ke tempat persembunyiannya. "Aku akan membina sebuah
robot perisai raksasa!" dia berkata sendirian. "Tingginya seratus
kaki, dan beratnya seratus ribu tan, dan di bahagian kepalanya akan kubina
tempat pemandu. Aku akan mempunyai kuasa dan tiada siapa yang boleh
mengapa-apakan diriku." Pada suatu hari, seorang
budak perempuan singgah di tempat persembunyiannya. Budak lelaki itu
keluar dengan senapangnya dan berkata: "Engkau harus pergi! Senapangku
boleh menembakmu!" "Aku tak mahu kacau
engkau," kata budak perempuan itu. "Aku cuma ingin lihat sama ada
cendawan telah mula tumbuh semula." "Kau harus pergi!"
kata budak lelaki itu. "Aku tak mahu sesiapa pun di kelilingku!" "Kau seorang dirikah?"
tanya budak perempuan itu. "Tidak," kata budak
lelaki itu. "Aku ada senapang dan skuter terbang. Mereka adalah
keluargaku. Dan pada suatu hari, aku akan memiliki sebuah robot perisai
raksasa!" "Kau tak punya sesiapa
yang hidup?" "Aku boleh memiliki
seekor anjing. Tapi jika ada orang membunuhnya, aku tentu akan mati
menangisinya." "Aku pun tiada
sesiapa," kata budak perempuan itu. "Kita boleh tinggal bersama." "Aku tak mahu mempunyai
sesiapa yang boleh ditembak mati oleh senapang!" "Jadi aku rasa engkau
terpaksa mencari seseorang yang tidak boleh ditembak mati oleh
senapang!" kata budak perempuan itu dan dia pun berlalu pergi. Namun budak lelaki itu
membina sebuah robot perisai raksasa dan masuk ke dalamnya. Dia duduk di
bahagian atas robot tersebut, di mana terdapat tempat pemandu berserta
kawalannya. Dia kemudiannya bertolak
dan memandu di merata negeri di dalam robot perisai raksasanya. Di merata-rata tempat,
orang-orang menjerit apabila mereka melihat ia tiba, dan mereka mahu
melarikan diri. Tetapi mereka tidak dapat melarikan diri daripada robot
perisai raksasa itu. Budak lelaki itu mempunyai
mikrofon di tempat pemandunya, dan segala yang dia katakan menerusi
mikrofon itu menderum dari mulut robot. "Ada sesiapa di sini yang tidak
boleh ditembak mati?" teriak robot itu. Tetapi ke mana saja dia pergi,
orang ramai melarikan diri daripadanya, dan dia tidak pernah menemui
sesiapa yang tidak boleh ditembak mati. Namun pada suatu hari,
dari tempat pemandunya, dia dapat melihat seorang di bawah yang tidak
melarikan diri daripadanya tetapi cuma berdiri tegak dan berteriak sesuatu
kepadanya. Tetapi dia berada terlalu tinggi di atas dan tidak memahami apa
yang orang itu ucapkan. "Barangkali orang itu
tidak boleh ditembak mati?" fikir budak itu dan dia turun dari tempat
pemandunya. Rupa-rupanya orang itu adalah perempuan tua yang telah
memberinya makan tidak lama dulu. "Makcik hendak katakan sesuatu
kepadaku?" tanya budak lelaki itu. "Ya," jawab perempuan
tua itu. "Makcik dapat tahu ada seseorang yang tidak boleh ditembak
mati. Makcik fikir makcik perlu beritahu kau tentangnya." "Siapa dia?" tanya
budak itu. "Dia seorang lelaki tua
yang tinggal di bulan." "Jadi aku terpaksa
mencarinya," kata budak itu, "sebab aku tak mahu mempunyai sesiapa di
kelilingku yang boleh ditembak mati." Dan dia menekan suis dan robot
perisai raksasa itu bertukar menjadi sebuah roket perisai raksasa dan dia
terbang ke bulan di dalamnya. Di bulan, budak lelaki itu
mencari cukup lama. Tetapi akhirnya dia menemukan lelaki tua itu. Dia
sedang duduk di belakang teleskopnya dan melihat ke bawah ke arah planet
biru. "Pakcikkah orang yang
tidak boleh ditembak mati?" "Pakcik rasa
begitulah," kata lelaki tua itu. "Apa yang pakcik lihat
menerusi teleskop tu?" "Pakcik sedang belajar
tentang orang-orang di planet di bawah sana." "Pakcik rasa boleh tak
aku tinggal dengan pakcik?" tanya budak itu. "Mungkin," jawab
lelaki tua itu. "Apa yang istimewa tentang pakcik?" "Sebab aku tak mahu tinggal dengan seseorang yang
boleh ditembak mati. Bila ibu bapa aku meninggal, aku menangis hingga
kering air mataku. Aku boleh memiliki seekor anjing, tapi jika ada orang
yang membunuhnya, aku tentu akan mati menangisinya. Dan aku juga boleh
tinggal dengan seorang perempuan tua atau dengan seorang budak perempuan.
Tapi mereka tidak kalis peluru, dan jika mereka terkorban, aku tentu akan
mati menangisi mereka." "Baiklah," kata lelaki
tua itu, "engkau boleh tinggal dengan pakcik. Tiada siapa yang boleh
menembak mati pakcik kerana tidak ada senapang di sini." "Itu saja sebabnya?"
tanya budak itu. "Ya, itu saja," jawab
lelaki tua itu. "Tapi aku bawa
senapangku bersamaku." "Sayang sekali," kata
lelaki tua itu, "sekarang engkau tak boleh duduk dengan pakcik.
Senapangmu boleh menembak mati pakcik." "Jadi aku harus
pulang," kata budak itu. "Ya," kata lelaki tua
itu. "Sayang sekali," kata
budak itu. "Kau rasa kesalkah?"
tanya lelaki tua itu. "Ya," ujar budak itu,
"aku tentu akan suka tinggal di dini." "Mungkin kau boleh buang
senapangmu?" ujar lelaki tua itu. "Mungkin," kata budak
itu. "Dan selepas itu kau
boleh tinggal dengan pakcik," kata lelaki tua itu. "Mungkin," kata budak
itu. "Dan apa yang akan aku buat selepas itu?" "Engkau boleh melihat
menerusi teleskop ini. Mungkin selepas itu engkau dapat tahu kenapa
orang-orang di bawah sana selalu berperang." "Kenapa mereka
berperang?" "Entahlah, pakcik pun
tak tahu. Mungkin kerana mereka kurang tahu tentang satu sama lain. Mereka
itu ramai dan kehidupan mereka agak rumit, sebab itu mereka tidak tahu
bagaimana tindak-tanduk mereka akan memberi kesan ke atas orang lain.
Pakcik rasa mereka tidak tahu dari mana datangnya daging yang mereka makan
atau di mana perginya roti yang mereka bakar. Pakcik agak mereka tidak
tahu sama ada besi yang mereka gali dari tanah digunakan untuk membuat
jentolak atau meriam. Barangkali mereka tidak tahu sama ada daging yang
mereka makan tidak di ambil daripada orang lain. Jika mereka dapat melihat
diri mereka sendiri dari atas, barangkali mereka akan lebih memahami
tentang banyak perkara." "Jadi mesti ada
seseorang untuk menerangkan itu semua kepada mereka?" kata budak lelaki
itu. "Mungkin," kata lelaki
tua itu, "tapi pakcik terlalu tua dan terlalu penat untuk itu." Hanya pada ketika itulah
budak lelaki itu melepaskan senapangnya, dan senapang itu jatuh ke bawah
menerusi ruang angkasa, sampai ke planet dan di sana, ia pecah berkecai. Tetapi budak lelaki itu
tinggal sekian lama bersama lelaki tua itu di bulan dan melihat menerusi
teleskop dan mempelajari tentang orang-orang di bawah sana. Dan mungkin,
pada satu hari, dia akan terbang ke sana dan menerangkan kepada mereka
tentang kesilapan mereka. |