KeadilanDiterjemahkan oleh Ain Jaafar |
|
|
Kini
teman-teman aku mesti memberitahu kamu sesuatu dan aku harap kamu akan
mempercayaiku. Dan sekiranya kamu tidak percaya akan kata-kataku, ia
tentunya buruk bagi kamu. Apa yang aku ingin beritahu kamu ialah: Pada
suatu masa dulu, di sebuah benua yang kecil betul-betul di planet bumi ini
(sebuah benua yang kini sudah ditenggelami air, maka kamu tidak akan dapat
menemuinya dalam sebarang peta pun - dan pada masa benua ini wujud, peta
belum lagi dicipta, jadi kamu juga tidak akan menemuinya dalam peta-peta
lama), walau bagaimanapun, di benua yang kecil ini (yang mungkin merupakan
benua yang ketujuh sekiranya ada seseorang yang telah mengira jumlah benua
pada masa itu, namun tiada sesiapa yang berbuat begitu kerana belum ada
satu benua pun yang ditemui pada masa itu, jadi semua penduduk di semua
benua memikirkan bahawa hanya terdapat benua mereka sahaja dan mengapa
mereka harus menyusahkan diri mengira sesuatu yang bilangannya cuma satu
sahaja). Apa yang ingin aku katakan ialah, benua kecil ini, yang bukan
merupakan benua ketujuh mahupun benua pertama, tetapi hanyalah sebuah
benua, didiami oleh penduduk yang sangat aneh. Mereka ini, maaf cakap,
gila. Mereka gila dengan cara yang tersendiri. Mereka tidak bodoh, oh
tidak. Misalnya mereka telah mencipta roda sebelum ia dicipta di sebarang
benua yang lain, dan sejurus selepas itu, mereka mencipta api dan piramid
dan telefon bimbit dan televisyen. Tidak, seperti yang aku katakan, mereka
gila dengan cara yang tersendiri. Bagaimana dapat aku terangkan? Misalnya,
katakanlah, mereka mempunyai seorang mak saudara yang datang melawat. Mak
saudara ini akan menelefon melalui telefon bimbitnya dan berkata:
"Hei, aku akan datang dan melawat kamu semasa cuti, hanya beberapa
hari, tidakkah kamu berasa seronok berjumpa lagi dengan mak saudara kamu
yang tua ini?" Dan keluarga ini yang telah merancang untuk pergi ke
tepi laut untuk percutian akan mengeluarkan barang-barang mereka dan
menyimpan semula roda di geraj dan menunggu ketibaan mak saudara mereka.
Katakanlah waktu percutian sudah berlalu dan mak saudara ini sudah berada
di rumah tersebut selama enam minggu dan tidak ada kemungkinan yang dia
akan untuk pulang ke rumahnya, dan seluruh keluarga ini terpaksa meminum
teh untuk sarapan, sebab mak saudara meyakinkan mereka bahawa kopi
memudaratkan kesihatan mereka, dan ayah terpaksa berhenti merokok sebab
mak saudara tidak tahan akan bau rokok, dan anak-anak harus diam daripada
pukul satu hingga empat petang semasa mak saudara sedang tidur. Jadi,
orang ini semua tidak akan menghalaunya atau pun menggunakan gincu dan
menandakan titik-titik merah pada muka anak perempuan mereka yang bongsu
dan berpura-pura yang dia menghidap demam skarlet untuk membuat mak
saudara meninggalkan rumah mereka. Tidak, mereka hanya akan mengemas
barang-barang mereka senyap-senyap, keluarkan roda dari geraj, memberi
kunci rumah kepada mak saudara dan pergi tinggal dalam khemah di tepi laut
mulai dari sekarang di mana mereka boleh minum kopi dan menghisap rokok
dan bermain dengan bising di antara pukul satu dan empat sesuka hati
mereka. Atau
katakanlah di sebuah sekolah seorang guru besar baru dilantik dan salah
seorang daripada guru-gurunya tidak henti-henti mengomel dan berkata:
"Mengapa mereka tidak melantik saya
sebagai guru besar, saya lebih baik daripada dia!" Mereka tidak akan
beritahu dia: "Dia lebih berpengalaman daripada kamu dan semasa cuti
sekolah, dia telah menghadiri kursus, sedangkan kamu hanya mewarnakan kuku
jari kakimu!" Tidak.
Sebaliknya, mereka akan menulis surat kepada majlis bandaran, mengatakan:
"Wanita ini memeningkan kepala kami dengan leterannya yang tidak
putus-putus, tolong lantik dia sebagai guru besar agar dia tidak lagi
membuat kami naik radang!" Dan hampir setiap kali pengetua sekolah
yang baru dilantik itu juga akan menandatangani surat tersebut. Atau
pun jika seorang budak lelaki tidak mahu belajar apa yang dipelajarinya
dan cuma mendapat markah yang sangat teruk, guru-gurunya tidak akan
menyuruhnya mengulang kelas itu. Sebaliknya mereka akan berkata: "Ah,
tapi senyumannya manis dan rakan-rakannya akan berasa sedih kehilangannya,
apa salahnya jika ejaannya teruk dan dia tidak tahu nama-nama benua, yang
walau apa pun juga, belum lagi ditemui." Aku
boleh menceritakan kepada kamu tak henti-henti tentang bagaimana gilanya
orang-orang ini. Apabila dua roda bertembung di simpang empat, mereka
tidak akan berhenti dan menyebelahi satu pihak dan memekik pada satu sama
lain: "Saya nampak dia meluncur di jalan dan saya tahu dia sedang meluncur terlaIu
laju! Tolong, tuan, jika tuan ke mahkamah tuan boleh menamakan saya
sebagai saksi, ini nama dan alamat saya!" Sebaliknya mereka akan
memekik kepada para pemandu: "Peduli apa siapa yang salah, alihkan
saja roda jahanam kamu supaya kami dapat menggerakkan roda kami, entah
siapa tahu mengapa kita menciptanya pada mulanya!" Semua
orang faham bahawa sikap yang tidak waras ini tidak menguntungkan mereka.
Mereka selalunya mendapat yang kedua terbaik, mereka mendapat tempat duduk
yang paling teruk di panggung wayang, mereka tidak dilayan di kaunter
menjual daging di pasar raya, mereka tidak pernah menjadi guru besar,
tetapi sebaliknya mereka tinggal dalam khemah di tepi pantai dan
merosakkan kesihatan mereka dengan kopi dan rokok dan permainan yang
bising. Pada
suatu hari seorang ahli silap mata yang unggul melawat benua ini. Namanya
ialah Belloni yang Unggul, dan apabila ia mendarat dengan ambal terbangnya
di pasar, dia berkata: "Selamat sejahtera aku ucapkan kepada kamu,
penduduk benua ini, aku ialah Belloni yang Unggul dan aku akan menamakan
benua ini Bellonia sempena namaku, kerana aku telah menemuinya." Para
penduduk berasa hairan sebab mereka sentiasa memikirkan bahawa merekalah
yang telah menemui benua tersebut, namun ahli silap mata
itu menerangkan kepada mereka bahawa seseorang itu tidak boleh
menemui sesuatu yang ia sendiri tahu mengenainya setiap masa dan mereka
fikirkan: ia mungkin dinamakan Gulbrannssonia atau Herrschkovitzia, jadi
nama Bellonia sama sekali tidak begitu buruk. Ahli
silap mata itu memandang di sekitar benua yang ditemuinya dan tidak lama
kemudian mendapat tahu masalah penduduknya. "Kamu adalah orang yang
pandai," katanya kepada mereka, "aku lihat kamu berpotensi
tinggi. Sebenarnya kamu kekurangan dua perkara." Apabila penduduk
benua itu ingin tahu apakah kedua-dua perkara tersebut, dia berkata:
"Pertamanya ialah kereta sorong." Dan dia menunjukkan kepada
mereka bagaimana mereka boleh memasangkan semacam kotak kayu pada roda
mereka agar mereka boleh menggunakannya untuk mengangkut barang-barang.
Para penduduk membuat eksperimen buat seketika dengan satu atau
tujuh roda, tetapi tidak lama kemudian mereka mendapati bahawa jumlah roda
yang paling sesuai ialah lebih kurang di antara dua dan empat. Dari situ,
tidak sukar untuk terus bereksperimen dengan kereta, enjin stim, landasan
dan kemudiannya seseorang juga mendapati bahawa anda boleh menambat seekor
keldai pada kereta sorong, satu cara yang tidak terlalu bising seperti
cara-cara lain untuk menggerakkan kereta sorong. "Dan
apa dia perkara kedua?" tanya mereka kepada ahli silap mata itu. "Perkara
kedua yang menghalang kemajuan di negara kamu ialah kurangnya sikap
adil." "Apa
tu?" desak orang-orang itu. "Adakah ia seperti kotak kayu yang
kamu tunjukkan kepada kami cara membuatnya?" "Bukan," jawab ahli silap mata itu, "ia
bukanlah sesuatu benda. Ia merupakan satu prinsip." Para
penduduk mengangguk seakan-akan mereka faham, tetapi sebenarnya mereka pun
tidak tahu apa maknanya prinsip. "Keadilan
maknanya memberi setiap orang apa yang mereka patut terima, tidak lebih
dan tidak kurang!" "Tapi
kami buat begitu." "Tidak,
kamu hanya memberi kepada orang-orang apa yang mereka mahu untuk
menghentikan mereka mengomel, itu tidak sama. Dan jika mereka tidak
mengomel, mereka tidak mendapat apa-apa." "Barangkali
mereka tidak terlalu inginkan sesuatu untuk mengomel tentangnya. Walau
bagaimanapun, siapa yang lebih mengetahui apa yang orang ini patut terima
selain daripada diri mereka sendiri?" Ahli
silap mata itu cuba menerangkannya tetapi tidak lama selepas itu dia
berhenti kerana berasa jengkel. Dia
berkata, "Kamu mahukan keadilan atau tidak? Aku hanya perlu
mengayunkan kayu saktiku untuk memberinya kepada kamu dan ia akan
mengelakkan aku dari ditimpa sakit tekak." "Baiklah,"
kata mereka, "jika ia menolong meningkatkan kemajuan, kami
mahukannya." Maka
ahli silap mata itu mengayunkan kayu saktinya dan dia kemudiannya naik ke
atas ambal ajaibnya dan terbang untuk menemui lebih banyak benua agar dia
dapat menghitung dan menamakan benua-benua tersebut. Dia sudah pun
memikirkan masak-masak tentang beberapa nama baru yang hebat seperti
Bellonia II dan Bellonia III, dan dia berminat untuk mencari benua yang
sesuai untuk mereka. Sejurus
selepas ahli silap mata itu mengayunkan kayu saktinya, orang Bellonia -
seperti yang mereka namakan diri mereka kini - dengan segera memahami
apa yang dimaksudkan oleh ahli silap mata itu dan mereka menggelengkan
kepala dan berkata: "Macam mana kita boleh jadi begitu gila?" Mereka
dengan segera mengemas khemah mereka dan pulang untuk menuntut balik rumah
mereka, tetapi mak saudara sudah berada di situ sekian lama sehinggakan
dia kini boleh dikatakan tinggal di situ dan dia berkata: "Kau fikir
apa, kau telah berikan rumah ini kepada aku apabila kau sengaja tinggalkan
aku sendirian di sini, aku sama sekali enggan tinggalkan rumah ini!"
Dan pertengkaran yang tidak habis-habis bermula mengenai kontrak lisan dan
undang-undang am dan sebagainya. Seterusnya,
orang Bellonia terpaksa menubuhkan sebuah mahkamah keadilan, tetapi mereka
tidak dapat bersetuju tentang siapa yang berhak menjadi hakim. Jadi mereka
memutuskan untuk berjumpa setiap pagi pada pukul sepuluh untuk
membincangkan semua kes. Kes
yang pertama ialah mengenai dua orang adik-beradik lelaki yang miskin, di
mana bapa mereka sudah meninggal dan hanya meninggalkan seekor keldai
untuk mereka. Setiap seorang daripada mereka mengatakan yang ia perlukan
keldai itu untuk membawa barang-barangnya dan menarik kereta sorong. Ini
adalah kes yang mudah bagi orang Bellonia. Mereka memutuskan bahawa keldai
itu harus dibelah dua dan setiap bahagian diberikan kepada setiap seorang.
Adik-beradik itu menentang dan berkata bahawa separuh keldai tidak berguna
langsung sebab ia tidak boleh menarik separuh kereta sorong pun, tetapi
mereka diberitahu bahawa pembahagiannya adalah amat tepat jadi mereka
tidak mempunyai apa-apa untuk dirungutkan. Adik-beradik
itu menyumpah seranah dan berlalu pergi, meninggalkan bahagian keldai yang
tidak berguna itu di situ. Kes
yang berikutnya lebih sukar untuk diselesaikan. Ia adalah mengenai seorang
lelaki yang mabuk dan telah memulakan pergaduhan dengan seorang lelaki
lain dan menghentam kromo sebelah matanya. Setakat ini tidak ada masalah.
Mereka memutuskan bahawa si mangsa perlu menghentam sebelah mata si
penjahat itu, dan kemudiannya setiap seorang daripada mereka harus membeli
mata kaca untuk yang seorang lagi. "Sebab," kata mereka,
"kita mesti mengenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang
dilakukan, inilah keadilan." Tetapi pada hari esoknya, lelaki ini
dibawa semula ke mahkamah kerana dia mabuk lagi dan telah menghentam mata
lelaki lain. "Jadi, apa masalahnya?" tanya sebahagian daripada
mereka. "Kita telah membuat keputusan bagi kes yang serupa semalam,
kita boleh memberi keputusan yang sama. Balasan yang setimpal harus
dikenakan!" "Tapi
dia cuma ada sebelah mata sahaja," yang lain berkata. "Jika kita
ambil matanya, dia akan menjadi buta, tetapi lawannya hanya memerlukan
sebiji mata kaca dan boleh menjalani kehidupan yang hampir seperti biasa.
Mengambil mata yang hanya sebelah saja tidak sama dengan mengambil mata
seorang yang memiliki dua biji mata." "Tapi
kita mesti mengambil sesuatu
daripadanya," kata yang lain, "jika tidak dia akan menghentam
kromo mata orang setiap masa." "Mari
kita potong tangannya," seorang mencadangkan, tetapi yang lain
menentang dengan hujah sebelah tangan tidak sama dengan sebiji mata.
"Kita mesti bersikap adil," kata mereka. "Jangan
menyakitinya sembarangan. Dia mesti merasa kesakitan yang sama dengan apa
yang dia telah lakukan ke atas lelaki yang seorang itu." "Baiklah,"
kata seseorang, "dia telah merosakkan sebelah mata yang dimiliki
lawannya. Mari kita rosakkan separuh daripada mata yang dia miliki." "Tapi
mustahil untuk menghentam sebahagian daripada mata yang ada. Dan sekalipun
ia boleh dilakukan, dia akan menjadi buta." Maka
perbincangan berterusan dan mereka tidak dapat membuat keputusan. Kemudiannya,
seperti yang dijangkakan, kes salah seorang daripada mak saudara dibawa ke
mahkamah. Mak
saudara ini telah mendiami rumah anak saudara lelakinya bertahun-tahun
lamanya. Dan oleh kerana dia
berasa sunyi, dia telah mempelawa seorang daripada anak saudara lelaki dan
isterinya untuk tinggal bersamanya. "Kesemua anak kami dilahirkan di
sini!" kata anak saudara lelaki yang kedua ini. "Dan
saya mengecat rumah ini dan menampal kertas dinding baru di dalam semua
bilik!" "Ya,
tetapi siapa yang memasang system paip?" balas anak saudara lelaki
yang pertama. "Kertas
dinding, system paip!" kata para hakim. "Apa yang penting ialah:
Siapa yang bina rumah tersebut?" "Rumah
itu sudah usang." kata anak saudara lelaki yang pertama
perlahan-lahan. "Tetapi saya dilahirkan di situ, jadi mengikut hak,
ia sepatutnya milik saya. " "Tetapi
kamu menyerahkannya kepada mak saudara kamu! " "Tidak,
saya tidak menyerahkannya, saya terpaksa pergi kerana leteran yang tak
henti-henti!" "Kamu
boleh menghalau mak saudara kamu!" "Siapa
yang pernah menghalau mak saudaranya!" "Tetapi
kamu tidak pernah beritahu dia kamu bercadang untuk pulang!" "Kami
tinggal dalam khemah. Itu jelas menunjukkan bahawa kami bercadang untuk
pulang ke rumah datuk-nenek kami. " Pada
saat ini, mak saudara mengangkat tangannya: "Jika aku betul-betul
ingat, wahai anak saudaraku, ayahku
sebenarnya yang pernah tinggal di rumah ini. Tetapi pada suatu hari, mak
saudara ayah kamu datang ziarah semasa cuti dan tidak lagi meninggalkan
rumah ini, jadi untuk mendapatkan sedikit ketenangan, ayahku terpaksa
keluar dan duduk dalam khemah di tepi laut. Dia merokok sampai mati,
kasihan dia. Jadi mengikut hak, aku fikir, rumah ini sepatutnya
milikku." Dan
dokumen-dokumen lama dan album-album keluarga dirujuk, dan
pertengkaran mengenai mak saudara dan bapa saudara meletus,
dan beberapa orang sepupu dan moyang mak saudara dan ibu pembaptisan
juga terlibat sama. Perbicaraan
itu berjalan berminggu-minggu lamanya dan akhirnya orang ramai berasa
lapar. Disebabkan perbicaraan itu, tidak ada sesiapa yang mempunyai masa
untuk melakukan kerja yang berfaedah dan mereka sudah kehabisan makanan. Dan
bahagian-bahagian keldai itu, yang masih bertaburan di tempat mesyuarat,
sudah mula reput. Tiada siapa yang memikirkan bahawa ia adalah tugas
mereka untuk mengalihkannya kerana mereka semua setuju bahawa ia merupakan
tanggungjawab pemiliknya. Tetapi kedua-dua adik-beradik itu telah mencuri
sebuah bot dan turun ke laut dengan harapan menemukan ahli silap mata itu
agar mereka dapat menghukumnya dengan sepatutnya. Bahagian keldai yang
reput itu begitu busuk baunya dan dipenuhi dengan berjuta-juta lalat, dan
akhirnya semua penduduk Bellonia jatuh sakit dan mati. Apabila
ahli silap mata itu kembali untuk melihat apa yang telah berlaku di benua
yang ditemuinya, dia mendapati bahawa benua itu dipenuhi lalat dan hampir
tidak ada apa-apa lagi. Dia mengangkat bahu dan mengayunkan kayu saktinya
dan benua itu tenggelam di bawah air, jadi tidak ada sesiapa patut tahu
mengenai kegagalan ahli silap mata itu membawa kemajuan kepada Bellonia I.
Ahli silap mata itu berharap untuk menenggelamkan lalat-lalat itu bersama
dengan segala yang lain, tetapi dia lupa bahawa lalat boleh terbang.
Lalat-lalat itu kebuluran, dan sebelum ahli silap mata itu dapat terbang
dengan ambal ajaibnya, kesemua lalat itu terbang ke atas bagai awan yang
besar dan membahamnya. Ambal itu, tanpa pemandunya, mengelilingi bumi
beberapa kali, kemudian kesaktiannya habis dan ia jatuh ke bumi di salah
sebuah benua yang lain. Di sana ia dijumpai oleh seorang tukang jaja yang
menjualnya kepadaku di pasar borong. Dan jika kamu tidak mempercayai
ceritaku ini, aku boleh tunjukkan ambal itu kepada kamu. |