Planet LobakDiterjemahkan oleh Ain Jaafar |
|
|
Pada suatu masa dulu, di sebuah
planet yang kecil tinggal sebilangan orang yang rajin dan yang lainnya
yang tidak begitu rajin. Ada juga segelintir yang sangat rajin dan
segelintir yang sangat malas. Dalam lain perkataan - keadaannya sama
dengan merata-rata tempat di dunia ini. Kecuali yang malas dan rajin
mencampakkan segala-galanya yang mereka tanam - kebanyakannya pelbagai
jenis lobak merah - ke satu longgokan dan kemudiannya berkongsi semuanya
dari longgokan tersebut. Itu
bukan caranya di merata-rata tempat. Tetapi
pada suatu hari sebilangan orang yang rajin berkata, "Kami tak tahan
lagi. Kami bertungkus-lumus sehari suntuk, dan yang lain-lain hanya
berbaring-baring sepanjang hari dan bersiul-siul apabila matahari terbit
dan mahu makan lobak kami." Dan daripada mencampakkan lobak mereka ke
longgokan kumpulan, mereka menyimpannya di rumah dan menyumbat diri mereka
dengan lobak sehingga mereka gemuk. Mereka
yang betul-betul malas hanya mengangkat bahu dan terus memakan lobak dari
longgokan besar itu, dan sudah tentu mereka makan lebih daripada apa yang
mereka campakkan ke longgokan itu. Pekerja
yang separuh rajin dan mereka yang separuh malas kemudiannya memerhatikan
bahawa kini setiap orang mendapat kurang dari sebelumnya kerana mereka
yang betul-betul rajin selalunya membawa lobak yang begitu banyak, lebih
daripada apa yang mereka makan. Pekerja
yang separuh rajin berkata, "Kami pun akan menyimpan lobak kami." Dan
mereka berhenti mencampakkan lobak mereka ke longgokan besar, dan
sebaliknya menyediakan longokkan kecil sendiri di rumah. Dan yang
separuh malas juga berbuat begitu. "Kami tidak ada pilihan lain," kata
mereka kepada yang betul-betul malas. Kini
mereka semua mempunyai longgokan lobak mereka sendiri di hadapan kotej
mereka dan apabila mereka merasa ingin makan sejenis lobak khas yang tidak
terdapat dalam longgokan mereka, mereka terpaksa melihat sama ada mereka
dapat bertukar dengan orang lain. Tidak
lama kemudian, orang ramai berulang-alik dan selepas waktu kerja mereka
sibuk berjam-jam lamanya bertukar lobak sehingga mereka mempunyai semua
jenis lobak yang mereka perlukan, atau yang mereka fikir mereka perlukan,
di rumah mereka. "Menyusahkan
betul!" kata orang yang betul-betul malas sesama sendiri. Mereka tidak
lagi dapat menenggek dengan longgokan kumpulan. Tetapi setiap seorang
daripada mereka mendapat pelajaran yang berbeza daripada keadaan ini. Ada
yang berkata, "Baiklah, aku rasa aku terpaksa bekerja lebih." Tetapi
tidak semudah itu sebab apabila seorang pemalas yang telah berubah sikap
seperti ini mendapatkan sebuah ladang untuk menanam lobaknya, biasanya ada
seseorang yang berkata, "Hei, aku selalu menanam lobak di sini. Ini
ladangku." Tetapi
yang lain hanya pergi ke kotej orang yang lebih kaya dan mengambil apa
sahaja yang mereka rasa mereka hendak makan dari longgokan lobak itu.
"Kami selalu ambil dari longgokan kumpulan. Dan jika sekarang terdapat
banyak longgokan, bukan hanya satu, maka semuanya hanyalah longgokan
kumpulan. Walau bagaimanapun, kami akan ambil apa yang kami mahu dari
longgokan tersebut," kata mereka. Sudah
tentu, mereka yang kaya tidak sukakan sikap tersebut, dan ada di antara
mereka mula membina pagar di keliling longgokan lobak mereka. Dan tidak
lama selepas itu, hampir semua orang telah membina pagar di keliling
longgokan lobak mereka kerana makin banyak pagar dibina di keliling
longgokan lobak, makin kerap mereka yang betul-betul malas, yang ingin
teruskan dengan cara lama, mengambil apa yang mereka mahu dari longgokan
yang tidak dikelilingi pagar. Tidak
lama kemudian, setiap orang yang mempunyai longgokan, juga mempunyai pagar
di kelilingnya. Kini, selepas bekerja, mereka bukan hanya terpaksa
menguruskan pertukaran berbagai jenis lobak, tetapi juga membaiki dan
memperbaiki pagar mereka dan menjaga untuk memastikan tidak ada orang
memanjat pagar mereka. Tidak
lama selepas itu, sebahagian daripada mereka mula merungut, "Kami semua
biasanya bertemu di longgokan lobak besar selepas bertugas dan
menceritakan jenaka dan main lompat katak. Kini selepas bekerja, kami
terkurung di rumah, menjaga lobak kami dan membaiki pagar kami. Dan pada
pagi esoknya kami berasa terlalu penat dan tidak berupaya menanam lobak
kami dengan sempurna. Entah sebab apa, kami kini mempunyai lebih banyak
tugas untuk dilakukan daripada sebelumnya, tetapi lobak tidak bertambah
pun." Ada
orang yang mencadangkan agar semua orang sepatutnya berbalik semula kepada
cara lama, dengan longgokan kumpulan. "Lebih baik memberi makan kepada
beberapa orang pengecek yang betul-betul malas daripada sentiasa
memenatkan diri kita sendiri membuat pertukaran dan menjaga dan membaiki
pagar!" Tetapi
mereka yang paling kaya berkata, "Tidak, jika kita berbalik semula
kepada cara lama, maknanya mengecek dibenarkan. Nanti semua orang mahu
mengecek dan tidak ada siapa akan menanam lobak lagi dan kita semua akan
kebulur!" "Tapi
itu tidak akan berlaku," kata yang lain. "Amat membosankan bagi
kebanyakan orang untuk hanya berbaring-baring dan bersiul-siul ke arah
matahari. Percayalah, hanya terdapat segelintir orang sahaja yang
betul-betul malas. Sebenarnya, menanam lobak menyeronokkan!" "Tidak,"
kata mereka yang paling kaya, "menanam lobak tidak menyeronokkan. Cuma
makan lobak yang menyeronokkan. Engkau boleh berkongsi lobakmu dengan si
pemalas tu, jika kau mahu. Bagi kami, kami tidak ada niat meruntuhkan
pagar kami!" "Alamak,"
kata beberapa orang yang separuh kaya, "jika yang betul-betul kaya tidak
bersetuju, maka kami juga akan mengekalkan pagar kami. Kami sebenarnya
tidak ada banyak lobak yang dapat kami kongsi dengan mereka yang pemalas
tu." Dan yang
separuh miskin berkata, "Jika hanya kita yang akan berkongsi dengan
mereka, setiap orang akan mendapat jumlah yang amat sedikit. Kami tak
setuju. Kami terpaksa mengekalkan pagar kami." Dan kali
ini, tidak ada apa-apa yang terjadi. Walaupun kebanyakan daripada mereka
tahu bahawa setiap orang kini mempunyai lebih banyak tugas untuk dilakukan
dan tidak ada lebihan lobak, mereka tidak mungkin dapat kembali ke cara
lama. Tetapi
sebaliknya beberapa perkara yang menarik berlaku. Ada di antara mereka
yang tidak mempunyai ladang lobak yang besar pergi berjumpa beberapa orang
yang lebih kaya dan berkata, "Dengar sini, jika tiap-tiap seorang
daripada kamu beri kepadaku beberapa batang lobak setiap hari, aku akan
menjaga longgokan lobakmu." Dan yang
lain mendapat idea yang berbeza dan berkata, "Aku akan membaiki pagar
sesiapa yang memberiku lobak!" Dan yang
lain pergi dari rumah ke rumah dan berkata, "Beriku sedikit lobak dan
aku akan menukarkannya untuk kamu, jika aku diberi satu lobak bagi setiap
lima lobak." Begitulah
keadaannya untuk seketika, dan kemudiannya ada di kalangan mereka mula
menggaru kepala dan berkata, "Sebenarnya aku sekarang sepatutnya
mempunyai lebih banyak masa, tetapi kini aku terpaksa menanam lebih banyak
lobak agar aku dapat membayar tukang baiki pagar dan pengawal malam dan
orang yang menguruskan pertukaran lobak." Dan
sekali lagi, ada yang menyarankan agar mereka sepatutnya kembali ke cara
lama dan meruntuhkan pagar. Anehnya, bukan sahaja orang-orang yang paling
kaya menentang saranan itu, tetapi yang paling miskin pun turut menentang.
"Kamu hendak ambil tugas kami ke?" jerit tukang baiki pagar. "Macam mana kami nak hidup?" jerit pengawal malam. "Kamu nak kami kebulur ke?" jerit orang yang menguruskan pertukaran lobak. Peduli apa, dan mereka terus melakukan kerja dengan cara baru. |