Peladang-peladang Yang Pandai MengiraDiterjemahkan oleh Ain Jaafar |
|
|
Di
antara tempat-tempat yang dilawati Mullah Nasreddin Hodja dalam
pengembaraannya ialah sebuah kampung di mana para penduduknya terkenal
kerana kepandaian mereka mengira. Nasreddin mendapat tempat tinggal
sementara di rumah seorang peladang. Pada pagi esoknya, Nasreddin
mendapati bahawa kampung itu tidak ada perigi. Pada waktu pagi, seseorang
dari setiap keluarga dalam kampung itu akan memuatkan jag-jag kosong ke
atas seekor atau dua ekor keldai, dan kemudiannya bertolak menuju ke
sebatang anak sungai, perjalanan yang mengambil masa satu jam. Ia mengisi
jag-jag itu dengan air dan membawanya pulang, dan ini memakan masa satu
jam lagi. "Bukankah
lebih baik jika kamu ada air dalam kampung ini?" tanya Nasreddin kepada
peladang yang memiliki rumah tempat ia menginap. "Oh,
lebih baik," kata peladang itu. "Setiap hari, tugas mengambil air ini
memerlukan dua jam manusia bagi seekor keldai dan seorang budak lelaki
yang menggiring keldai itu. Jumlah setahun ialah 1,460 jam, sekiranya tuan
menganggap keldai itu sama dengan budak lelaki itu. Jika keldai dan budak
itu bekerja di ladang sepanjang masa tersebut, saya boleh, misalnya,
menanam satu ladang labu dan meraih hasil 457 biji labu setiap tahun." "Nampaknya
kamu sudah fikirkan segala-galanya," kata Nasreddin dengan nada kagum.
"Jadi, mengapa tidak menggali tali air untuk menyalurkan air ke kampung
ini?" "Tak
semudah itu," kata peladang itu. "Ada sebuah bukit yang menghalang,
dan kami terpaksa mengorek tanah bukit ini habis-habis. Jika saya tidak
menghantar budak dan keldai saya untuk mengambil air tetapi saya gunakan
mereka untuk mengorek tali air, mereka akan mengambil masa 500 tahun jika
mereka bekerja dua jam sehari. Mungkin saya ada tiga puluh tahun lagi
untuk hidup, jadi adalah lebih murah bagi saya menyuruh mereka mengambil
air." "Ya,
tapi adakah tanggungjawab membina tali air itu terletak di atas bahu kamu
seorang? Ada banyak keluarga dalam kampung ini." "Oh,
ya," ujar peladang itu, "ada genap 100 keluarga. Jika setiap keluarga
menghantar seorang budak dan seekor keldai untuk bekerja setiap hari
selama dua jam, tali air itu akan siap dalam masa lima tahun. Dan jika
mereka bekerja sepuluh jam setiap hari, ia akan siap dalam masa
setahun." "Jadi
mengapa kamu tidak berbincang dengan jiran-jiran kamu dan cadangkan supaya
kamu semua menggali tali air itu bersama?" "Jika
saya ada perkara yang penting untuk dibincangkan dengan seorang jiran,
saya mempelawa dia ke rumah saya, menghidangkan air teh dan halwa, berbual
dengannya mengenai cuaca dan prospek bagi musim menuai yang akan datang,
kemudian tentang keluarganya, tentang anak-anak lelaki, anak-anak
perempuan dan cucu-cucunya. Kemudian saya hidangkan makanan dan selepas
makan malam, kami minum teh lagi. Kemudian dia bertanyakan kepada saya
tentang ladang saya dan keluarga saya, dan akhirnya kami akan tiba ke
perkara yang perlu dibincangkan. Ia memakan masa sehari suntuk. Oleh
kerana terdapat 100 buah keluarga di kampung kami, saya terpaksa
berbincang dengan 99 orang ketua keluarga. Tuan harus akui bahawa saya tak
mampu menghabiskan 99 hari berturut-turut mengadakan perbincangan
tersebut. Ladang saya akan musnah kerana diabaikan. Yang terbaik yang
dapat saya lakukan ialah menjemput seorang jiran sekali seminggu ke rumah
saya. Oleh kerana ada lima-puluh dua minggu sahaja dalam setahun, ia
bermakna ia akan mengambil masa hampir dua tahun untuk berbincang dengan
semua jiran saya. Jika saya kenal jiran-jiran saya, semuanya akan
bersetuju akhirnya bahawa adalah lebih baik jika ada air dalam kampung
kerana mereka semua pandai mengira. Dan jika saya kenal mereka, tiap-tiap
seorang daripada mereka akan berjanji untuk menyertainya jika yang lain
juga turut serta. Jadi, selepas dua tahun, saya terpaksa memulakannya
sekali lagi. Saya terpaksa menjemput mereka ke rumah saya dan memberitahu
mereka bahawa yang lain juga telah bersetuju untuk ikut serta." "Bagus
sekali," kata Nasreddin, "tapi selepas empat tahun, kamu akan bersedia
untuk memulakan kerja. Dan selepas setahun lagi, tali air itu akan
siap!" "Ada
satu lagi masalah," kata peladang itu. "Tuan harus akui bahawa setelah
tali air itu siap, setiap orang dapat mengambil air darinya, sama ada dia
menjalankan tugasnya atau tidak." "Betul
tu," kata Nasreddin. "Walaupun kamu mahu, kamu tidak boleh mengawal
sepanjang tali air itu." "Ya,
benar," kata peladang itu. "Jadi seseorang yang malas membuat kerja
akan mendapat faedah yang sama daripada tali air itu seperti yang lain,
tapi tanpa perlu bekerja." "Itu
saya akui," ujar Nasreddin. "Jadi
semua yang pandai mengira akan cuba mengelak menjalankan tugasnya. Satu
hari alasannya ialah keldai yang tempang. Hari yang lain pula, anak lelaki
seseorang itu batuk. Dan kemudiannya isteri seseorang itu sakit, dan budak
dan keldainya diperlukan untuk mendapatkan doktor. Di kampung kami, semua
orang pandai mengira, jadi semuanya akan cuba melepaskan diri daripada
menjalankan tugas masing-masing. Dan oleh kerana kami semua tahu bahawa
yang lain tidak akan memulakan tugas, tiada siapa yang akan menghantar
keldai dan budak lelakinya untuk bekerja. Jadi kerja menggali tali air itu
tidak akan dimulakan pun." "Saya
harus akui bahawa hujah kamu amat meyakinkan," kata Nasreddin. Dia
termenung seketika, kemudian tiba-tiba berkata, "Saya tahu ada sebuah
kampung di sebalik gunung yang menghadapi masalah yang sama. Tapi mereka
sudah mempunyai tali air selama dua puluh tahun." "Betul,"
kata peladang itu, "tetapi mereka tidak pandai mengira." |