Martin Auer: Perang Yang Aneh, Cerita-cerita bagi Budaya Keamanan

   
 

Keadilan

Please share if you want to help to promote peace!

Diterjemahkan oleh Ain Jaafar

This translation has not yet been reviewed

Si Pelamun
Budak Lelaki Biru
Planet Lobak
Gentar
Gentar Lagi
Orang Aneh dari Planet Hortus
Dua Pelawan
Perang Besar di Marikh
Hamba
Peladang-peladang Yang Pandai Mengira
Perang yang Aneh
Kesesakan Lalu Lintas
Dua Banduan
Keadilan
Laporan kepada Majlis Sistem Suria Bersatu
Bom
Foreword
Download (All stories in one printer friendly file)
About the Translator
About the Author
Mail for Martin Auer
Licence
Creative Commons licence agreement

Bücher und CDs von Martin Auer


In meinem Haus in meinem Kopf
Gedichte für Kinder

Die Prinzessin mit dem Bart
Joscha unterm Baum
Was die alte Maiasaura erzählt

Die Erbsenprinzessin

Der wunderbare Zauberer von Oz - Hörbuch zum Download

Die Jagd nach dem Zauberstab, Roman für Kinder - Hörbuch zum Download
Der seltsame Krieg
Geschichten über Krieg und Frieden

Zum Mars und zurück - Lieder
Lieblich klingt der Gartenschlauch - Lieder
Lieschen Radieschen und andere komische Geschichten - CD

Kini teman-teman aku mesti memberitahu kamu sesuatu dan aku harap kamu akan mempercayaiku. Dan sekiranya kamu tidak percaya akan kata-kataku, ia tentunya buruk bagi kamu. Apa yang aku ingin beritahu kamu ialah: Pada suatu masa dulu, di sebuah benua yang kecil betul-betul di planet bumi ini (sebuah benua yang kini sudah ditenggelami air, maka kamu tidak akan dapat menemuinya dalam sebarang peta pun - dan pada masa benua ini wujud, peta belum lagi dicipta, jadi kamu juga tidak akan menemuinya dalam peta-peta lama), walau bagaimanapun, di benua yang kecil ini (yang mungkin merupakan benua yang ketujuh sekiranya ada seseorang yang telah mengira jumlah benua pada masa itu, namun tiada sesiapa yang berbuat begitu kerana belum ada satu benua pun yang ditemui pada masa itu, jadi semua penduduk di semua benua memikirkan bahawa hanya terdapat benua mereka sahaja dan mengapa mereka harus menyusahkan diri mengira sesuatu yang bilangannya cuma satu sahaja). Apa yang ingin aku katakan ialah, benua kecil ini, yang bukan merupakan benua ketujuh mahupun benua pertama, tetapi hanyalah sebuah benua, didiami oleh penduduk yang sangat aneh. Mereka ini, maaf cakap, gila. Mereka gila dengan cara yang tersendiri. Mereka tidak bodoh, oh tidak. Misalnya mereka telah mencipta roda sebelum ia dicipta di sebarang benua yang lain, dan sejurus selepas itu, mereka mencipta api dan piramid dan telefon bimbit dan televisyen. Tidak, seperti yang aku katakan, mereka gila dengan cara yang tersendiri. Bagaimana dapat aku terangkan? Misalnya, katakanlah, mereka mempunyai seorang mak saudara yang datang melawat. Mak saudara ini akan menelefon melalui telefon bimbitnya dan berkata: "Hei, aku akan datang dan melawat kamu semasa cuti, hanya beberapa hari, tidakkah kamu berasa seronok berjumpa lagi dengan mak saudara kamu yang tua ini?" Dan keluarga ini yang telah merancang untuk pergi ke tepi laut untuk percutian akan mengeluarkan barang-barang mereka dan menyimpan semula roda di geraj dan menunggu ketibaan mak saudara mereka. Katakanlah waktu percutian sudah berlalu dan mak saudara ini sudah berada di rumah tersebut selama enam minggu dan tidak ada kemungkinan yang dia akan untuk pulang ke rumahnya, dan seluruh keluarga ini terpaksa meminum teh untuk sarapan, sebab mak saudara meyakinkan mereka bahawa kopi memudaratkan kesihatan mereka, dan ayah terpaksa berhenti merokok sebab mak saudara tidak tahan akan bau rokok, dan anak-anak harus diam daripada pukul satu hingga empat petang semasa mak saudara sedang tidur. Jadi, orang ini semua tidak akan menghalaunya atau pun menggunakan gincu dan menandakan titik-titik merah pada muka anak perempuan mereka yang bongsu dan berpura-pura yang dia menghidap demam skarlet untuk membuat mak saudara meninggalkan rumah mereka. Tidak, mereka hanya akan mengemas barang-barang mereka senyap-senyap, keluarkan roda dari geraj, memberi kunci rumah kepada mak saudara dan pergi tinggal dalam khemah di tepi laut mulai dari sekarang di mana mereka boleh minum kopi dan menghisap rokok dan bermain dengan bising di antara pukul satu dan empat sesuka hati mereka.

Atau katakanlah di sebuah sekolah seorang guru besar baru dilantik dan salah seorang daripada guru-gurunya tidak henti-henti mengomel dan berkata: "Mengapa mereka tidak melantik saya sebagai guru besar, saya lebih baik daripada dia!" Mereka tidak akan beritahu dia: "Dia lebih berpengalaman daripada kamu dan semasa cuti sekolah, dia telah menghadiri kursus, sedangkan kamu hanya mewarnakan kuku jari kakimu!"  Tidak. Sebaliknya, mereka akan menulis surat kepada majlis bandaran, mengatakan: "Wanita ini memeningkan kepala kami dengan leterannya yang tidak putus-putus, tolong lantik dia sebagai guru besar agar dia tidak lagi membuat kami naik radang!" Dan hampir setiap kali pengetua sekolah yang baru dilantik itu juga akan menandatangani surat tersebut.

Atau pun jika seorang budak lelaki tidak mahu belajar apa yang dipelajarinya dan cuma mendapat markah yang sangat teruk, guru-gurunya tidak akan menyuruhnya mengulang kelas itu. Sebaliknya mereka akan berkata: "Ah, tapi senyumannya manis dan rakan-rakannya akan berasa sedih kehilangannya, apa salahnya jika ejaannya teruk dan dia tidak tahu nama-nama benua, yang walau apa pun juga, belum lagi ditemui."

Aku boleh menceritakan kepada kamu tak henti-henti tentang bagaimana gilanya orang-orang ini. Apabila dua roda bertembung di simpang empat, mereka tidak akan berhenti dan menyebelahi satu pihak dan memekik pada satu sama lain: "Saya nampak dia meluncur di jalan dan saya tahu dia sedang meluncur terlaIu laju! Tolong, tuan, jika tuan ke mahkamah tuan boleh menamakan saya sebagai saksi, ini nama dan alamat saya!" Sebaliknya mereka akan memekik kepada para pemandu: "Peduli apa siapa yang salah, alihkan saja roda jahanam kamu supaya kami dapat menggerakkan roda kami, entah siapa tahu mengapa kita menciptanya pada mulanya!"

Semua orang faham bahawa sikap yang tidak waras ini tidak menguntungkan mereka. Mereka selalunya mendapat yang kedua terbaik, mereka mendapat tempat duduk yang paling teruk di panggung wayang, mereka tidak dilayan di kaunter menjual daging di pasar raya, mereka tidak pernah menjadi guru besar, tetapi sebaliknya mereka tinggal dalam khemah di tepi pantai dan merosakkan kesihatan mereka dengan kopi dan rokok dan permainan yang bising.

Pada suatu hari seorang ahli silap mata yang unggul melawat benua ini. Namanya ialah Belloni yang Unggul, dan apabila ia mendarat dengan ambal terbangnya di pasar, dia berkata: "Selamat sejahtera aku ucapkan kepada kamu, penduduk benua ini, aku ialah Belloni yang Unggul dan aku akan menamakan benua ini Bellonia sempena namaku, kerana aku telah menemuinya."

Para penduduk berasa hairan sebab mereka sentiasa memikirkan bahawa merekalah yang telah menemui benua tersebut, namun ahli silap mata  itu menerangkan kepada mereka bahawa seseorang itu tidak boleh menemui sesuatu yang ia sendiri tahu mengenainya setiap masa dan mereka fikirkan: ia mungkin dinamakan Gulbrannssonia atau Herrschkovitzia, jadi nama Bellonia sama sekali tidak begitu buruk.   

Ahli silap mata itu memandang di sekitar benua yang ditemuinya dan tidak lama kemudian mendapat tahu masalah penduduknya. "Kamu adalah orang yang pandai," katanya kepada mereka, "aku lihat kamu berpotensi tinggi. Sebenarnya kamu kekurangan dua perkara." Apabila penduduk benua itu ingin tahu apakah kedua-dua perkara tersebut, dia berkata: "Pertamanya ialah kereta sorong." Dan dia menunjukkan kepada mereka bagaimana mereka boleh memasangkan semacam kotak kayu pada roda mereka agar mereka boleh menggunakannya untuk mengangkut barang-barang.  Para penduduk membuat eksperimen buat seketika dengan satu atau tujuh roda, tetapi tidak lama kemudian mereka mendapati bahawa jumlah roda yang paling sesuai ialah lebih kurang di antara dua dan empat. Dari situ, tidak sukar untuk terus bereksperimen dengan kereta, enjin stim, landasan dan kemudiannya seseorang juga mendapati bahawa anda boleh menambat seekor keldai pada kereta sorong, satu cara yang tidak terlalu bising seperti cara-cara lain untuk menggerakkan kereta sorong.

"Dan apa dia perkara kedua?" tanya mereka kepada ahli silap mata itu.

"Perkara kedua yang menghalang kemajuan di negara kamu ialah kurangnya sikap adil."

"Apa tu?" desak orang-orang itu. "Adakah ia seperti kotak kayu yang kamu tunjukkan kepada kami cara membuatnya?"

 "Bukan," jawab ahli silap mata itu, "ia bukanlah sesuatu benda. Ia merupakan satu prinsip."

Para penduduk mengangguk seakan-akan mereka faham, tetapi sebenarnya mereka pun tidak tahu apa maknanya prinsip.

"Keadilan maknanya memberi setiap orang apa yang mereka patut terima, tidak lebih dan tidak kurang!"

"Tapi kami buat begitu."

"Tidak, kamu hanya memberi kepada orang-orang apa yang mereka mahu untuk menghentikan mereka mengomel, itu tidak sama. Dan jika mereka tidak mengomel, mereka tidak mendapat apa-apa."

"Barangkali mereka tidak terlalu inginkan sesuatu untuk mengomel tentangnya. Walau bagaimanapun, siapa yang lebih mengetahui apa yang orang ini patut terima selain daripada diri mereka sendiri?"

Ahli silap mata itu cuba menerangkannya tetapi tidak lama selepas itu dia berhenti kerana berasa jengkel.

Dia berkata, "Kamu mahukan keadilan atau tidak? Aku hanya perlu mengayunkan kayu saktiku untuk memberinya kepada kamu dan ia akan mengelakkan aku dari ditimpa sakit tekak."

"Baiklah," kata mereka, "jika ia menolong meningkatkan kemajuan, kami mahukannya."

Maka ahli silap mata itu mengayunkan kayu saktinya dan dia kemudiannya naik ke atas ambal ajaibnya dan terbang untuk menemui lebih banyak benua agar dia dapat menghitung dan menamakan benua-benua tersebut. Dia sudah pun memikirkan masak-masak tentang beberapa nama baru yang hebat seperti Bellonia II dan Bellonia III, dan dia berminat untuk mencari benua yang sesuai untuk mereka.

Sejurus selepas ahli silap mata itu mengayunkan kayu saktinya, orang Bellonia - seperti yang mereka namakan diri mereka kini - dengan segera memahami apa yang dimaksudkan oleh ahli silap mata itu dan mereka menggelengkan kepala dan berkata: "Macam mana kita boleh jadi begitu gila?"

Mereka dengan segera mengemas khemah mereka dan pulang untuk menuntut balik rumah mereka, tetapi mak saudara sudah berada di situ sekian lama sehinggakan dia kini boleh dikatakan tinggal di situ dan dia berkata: "Kau fikir apa, kau telah berikan rumah ini kepada aku apabila kau sengaja tinggalkan aku sendirian di sini, aku sama sekali enggan tinggalkan rumah ini!" Dan pertengkaran yang tidak habis-habis bermula mengenai kontrak lisan dan undang-undang am dan sebagainya.

Seterusnya, orang Bellonia terpaksa menubuhkan sebuah mahkamah keadilan, tetapi mereka tidak dapat bersetuju tentang siapa yang berhak menjadi hakim. Jadi mereka memutuskan untuk berjumpa setiap pagi pada pukul sepuluh untuk membincangkan semua kes.

Kes yang pertama ialah mengenai dua orang adik-beradik lelaki yang miskin, di mana bapa mereka sudah meninggal dan hanya meninggalkan seekor keldai untuk mereka. Setiap seorang daripada mereka mengatakan yang ia perlukan keldai itu untuk membawa barang-barangnya dan menarik kereta sorong. Ini adalah kes yang mudah bagi orang Bellonia. Mereka memutuskan bahawa keldai itu harus dibelah dua dan setiap bahagian diberikan kepada setiap seorang. Adik-beradik itu menentang dan berkata bahawa separuh keldai tidak berguna langsung sebab ia tidak boleh menarik separuh kereta sorong pun, tetapi mereka diberitahu bahawa pembahagiannya adalah amat tepat jadi mereka tidak mempunyai apa-apa untuk dirungutkan.

Adik-beradik itu menyumpah seranah dan berlalu pergi, meninggalkan bahagian keldai yang tidak berguna itu di situ.

Kes yang berikutnya lebih sukar untuk diselesaikan. Ia adalah mengenai seorang lelaki yang mabuk dan telah memulakan pergaduhan dengan seorang lelaki lain dan menghentam kromo sebelah matanya. Setakat ini tidak ada masalah. Mereka memutuskan bahawa si mangsa perlu menghentam sebelah mata si penjahat itu, dan kemudiannya setiap seorang daripada mereka harus membeli mata kaca untuk yang seorang lagi. "Sebab," kata mereka, "kita mesti mengenakan hukuman yang setimpal dengan kesalahan yang dilakukan, inilah keadilan." Tetapi pada hari esoknya, lelaki ini dibawa semula ke mahkamah kerana dia mabuk lagi dan telah menghentam mata lelaki lain. "Jadi, apa masalahnya?" tanya sebahagian daripada mereka. "Kita telah membuat keputusan bagi kes yang serupa semalam, kita boleh memberi keputusan yang sama. Balasan yang setimpal harus dikenakan!"

"Tapi dia cuma ada sebelah mata sahaja," yang lain berkata. "Jika kita ambil matanya, dia akan menjadi buta, tetapi lawannya hanya memerlukan sebiji mata kaca dan boleh menjalani kehidupan yang hampir seperti biasa. Mengambil mata yang hanya sebelah saja tidak sama dengan mengambil mata seorang yang memiliki dua biji mata."

"Tapi kita mesti mengambil sesuatu daripadanya," kata yang lain, "jika tidak dia akan menghentam kromo mata orang setiap masa."

"Mari kita potong tangannya," seorang mencadangkan, tetapi yang lain menentang dengan hujah sebelah tangan tidak sama dengan sebiji mata. "Kita mesti bersikap adil," kata mereka. "Jangan menyakitinya sembarangan. Dia mesti merasa kesakitan yang sama dengan apa yang dia telah lakukan ke atas lelaki yang seorang itu."

"Baiklah," kata seseorang, "dia telah merosakkan sebelah mata yang dimiliki lawannya. Mari kita rosakkan separuh daripada mata yang dia miliki."

"Tapi mustahil untuk menghentam sebahagian daripada mata yang ada. Dan sekalipun ia boleh dilakukan, dia akan menjadi buta."

Maka perbincangan berterusan dan mereka tidak dapat membuat keputusan.

Kemudiannya, seperti yang dijangkakan, kes salah seorang daripada mak saudara dibawa ke mahkamah.

Mak saudara ini telah mendiami rumah anak saudara lelakinya bertahun-tahun lamanya.  Dan oleh kerana dia berasa sunyi, dia telah mempelawa seorang daripada anak saudara lelaki dan isterinya untuk tinggal bersamanya. "Kesemua anak kami dilahirkan di sini!" kata anak saudara lelaki yang kedua ini. "Dan saya mengecat rumah ini dan menampal kertas dinding baru di dalam semua bilik!"

"Ya, tetapi siapa yang memasang system paip?" balas anak saudara lelaki yang pertama.

"Kertas dinding, system paip!" kata para hakim. "Apa yang penting ialah: Siapa yang bina rumah tersebut?"

"Rumah itu sudah usang." kata anak saudara lelaki yang pertama perlahan-lahan. "Tetapi saya dilahirkan di situ, jadi mengikut hak, ia sepatutnya milik saya. "  

"Tetapi kamu menyerahkannya kepada mak saudara kamu! "

"Tidak, saya tidak menyerahkannya, saya terpaksa pergi kerana leteran yang tak henti-henti!"

"Kamu boleh menghalau mak saudara kamu!"

"Siapa yang pernah menghalau mak saudaranya!"

"Tetapi kamu tidak pernah beritahu dia kamu bercadang untuk pulang!"

"Kami tinggal dalam khemah. Itu jelas menunjukkan bahawa kami bercadang untuk pulang ke rumah datuk-nenek kami. "

Pada saat ini, mak saudara mengangkat tangannya: "Jika aku betul-betul ingat, wahai anak saudaraku, ayahku sebenarnya yang pernah tinggal di rumah ini. Tetapi pada suatu hari, mak saudara ayah kamu datang ziarah semasa cuti dan tidak lagi meninggalkan rumah ini, jadi untuk mendapatkan sedikit ketenangan, ayahku terpaksa keluar dan duduk dalam khemah di tepi laut. Dia merokok sampai mati, kasihan dia. Jadi mengikut hak, aku fikir, rumah ini sepatutnya milikku."

Dan dokumen-dokumen lama dan album-album keluarga dirujuk, dan   pertengkaran mengenai mak saudara dan bapa saudara meletus, dan beberapa orang sepupu dan moyang mak saudara dan ibu pembaptisan  juga terlibat sama.

Perbicaraan itu berjalan berminggu-minggu lamanya dan akhirnya orang ramai berasa lapar. Disebabkan perbicaraan itu, tidak ada sesiapa yang mempunyai masa untuk melakukan kerja yang berfaedah dan mereka sudah kehabisan makanan.

Dan bahagian-bahagian keldai itu, yang masih bertaburan di tempat mesyuarat, sudah mula reput. Tiada siapa yang memikirkan bahawa ia adalah tugas mereka untuk mengalihkannya kerana mereka semua setuju bahawa ia merupakan tanggungjawab pemiliknya. Tetapi kedua-dua adik-beradik itu telah mencuri sebuah bot dan turun ke laut dengan harapan menemukan ahli silap mata itu agar mereka dapat menghukumnya dengan sepatutnya. Bahagian keldai yang reput itu begitu busuk baunya dan dipenuhi dengan berjuta-juta lalat, dan akhirnya semua penduduk Bellonia jatuh sakit dan mati.

Apabila ahli silap mata itu kembali untuk melihat apa yang telah berlaku di benua yang ditemuinya, dia mendapati bahawa benua itu dipenuhi lalat dan hampir tidak ada apa-apa lagi. Dia mengangkat bahu dan mengayunkan kayu saktinya dan benua itu tenggelam di bawah air, jadi tidak ada sesiapa patut tahu mengenai kegagalan ahli silap mata itu membawa kemajuan kepada Bellonia I. Ahli silap mata itu berharap untuk menenggelamkan lalat-lalat itu bersama dengan segala yang lain, tetapi dia lupa bahawa lalat boleh terbang. Lalat-lalat itu kebuluran, dan sebelum ahli silap mata itu dapat terbang dengan ambal ajaibnya, kesemua lalat itu terbang ke atas bagai awan yang besar dan membahamnya. Ambal itu, tanpa pemandunya, mengelilingi bumi beberapa kali, kemudian kesaktiannya habis dan ia jatuh ke bumi di salah sebuah benua yang lain. Di sana ia dijumpai oleh seorang tukang jaja yang menjualnya kepadaku di pasar borong. Dan jika kamu tidak mempercayai ceritaku ini, aku boleh tunjukkan ambal itu kepada kamu.


Author's comments


This site has content self published by registered users. If you notice anything that looks like spam or abuse, please contact the author.