Di antara tempat-tempat yang dilawati Mullah Nasreddin Hodja dalam pengembaraannya ialah sebuah kampung di mana para penduduknya terkenal kerana kepandaian mereka mengira. Nasreddin mendapat tempat tinggal sementara di rumah seorang peladang. Pada pagi esoknya, Nasreddin mendapati bahawa kampung itu tidak ada perigi. Pada waktu pagi, seseorang dari setiap keluarga dalam kampung itu akan memuatkan jag-jag kosong ke atas seekor atau dua ekor keldai, dan kemudiannya bertolak menuju ke sebatang anak sungai, perjalanan yang mengambil masa satu jam. Ia mengisi jag-jag itu dengan air dan membawanya pulang, dan ini memakan masa satu jam lagi.
"Bukankah lebih baik jika kamu ada air dalam kampung ini?" tanya Nasreddin kepada peladang yang memiliki rumah tempat ia menginap.
"Oh, lebih baik," kata peladang itu. "Setiap hari, tugas mengambil air ini memerlukan dua jam manusia bagi seekor keldai dan seorang budak lelaki yang menggiring keldai itu. Jumlah setahun ialah 1,460 jam, sekiranya tuan menganggap keldai itu sama dengan budak lelaki itu. Jika keldai dan budak itu bekerja di ladang sepanjang masa tersebut, saya boleh, misalnya, menanam satu ladang labu dan meraih hasil 457 biji labu setiap tahun."
"Nampaknya kamu sudah fikirkan segala-galanya," kata Nasreddin dengan nada kagum. "Jadi, mengapa tidak menggali tali air untuk menyalurkan air ke kampung ini?"
"Tak semudah itu," kata peladang itu. "Ada sebuah bukit yang menghalang, dan kami terpaksa mengorek tanah bukit ini habis-habis. Jika saya tidak menghantar budak dan keldai saya untuk mengambil air tetapi saya gunakan mereka untuk mengorek tali air, mereka akan mengambil masa 500 tahun jika mereka bekerja dua jam sehari. Mungkin saya ada tiga puluh tahun lagi untuk hidup, jadi adalah lebih murah bagi saya menyuruh mereka mengambil air."
"Ya, tapi adakah tanggungjawab membina tali air itu terletak di atas bahu kamu seorang? Ada banyak keluarga dalam kampung ini."
"Oh, ya," ujar peladang itu, "ada genap 100 keluarga. Jika setiap keluarga menghantar seorang budak dan seekor keldai untuk bekerja setiap hari selama dua jam, tali air itu akan siap dalam masa lima tahun. Dan jika mereka bekerja sepuluh jam setiap hari, ia akan siap dalam masa setahun."
"Jadi mengapa kamu tidak berbincang dengan jiran-jiran kamu dan cadangkan supaya kamu semua menggali tali air itu bersama?"
"Jika saya ada perkara yang penting untuk dibincangkan dengan seorang jiran, saya mempelawa dia ke rumah saya, menghidangkan air teh dan halwa, berbual dengannya mengenai cuaca dan prospek bagi musim menuai yang akan datang, kemudian tentang keluarganya, tentang anak-anak lelaki, anak-anak perempuan dan cucu-cucunya. Kemudian saya hidangkan makanan dan selepas makan malam, kami minum teh lagi. Kemudian dia bertanyakan kepada saya tentang ladang saya dan keluarga saya, dan akhirnya kami akan tiba ke perkara yang perlu dibincangkan. Ia memakan masa sehari suntuk. Oleh kerana terdapat 100 buah keluarga di kampung kami, saya terpaksa berbincang dengan 99 orang ketua keluarga. Tuan harus akui bahawa saya tak mampu menghabiskan 99 hari berturut-turut mengadakan perbincangan tersebut. Ladang saya akan musnah kerana diabaikan. Yang terbaik yang dapat saya lakukan ialah menjemput seorang jiran sekali seminggu ke rumah saya. Oleh kerana ada lima-puluh dua minggu sahaja dalam setahun, ia bermakna ia akan mengambil masa hampir dua tahun untuk berbincang dengan semua jiran saya. Jika saya kenal jiran-jiran saya, semuanya akan bersetuju akhirnya bahawa adalah lebih baik jika ada air dalam kampung kerana mereka semua pandai mengira. Dan jika saya kenal mereka, tiap-tiap seorang daripada mereka akan berjanji untuk menyertainya jika yang lain juga turut serta. Jadi, selepas dua tahun, saya terpaksa memulakannya sekali lagi. Saya terpaksa menjemput mereka ke rumah saya dan memberitahu mereka bahawa yang lain juga telah bersetuju untuk ikut serta."
"Bagus sekali," kata Nasreddin, "tapi selepas empat tahun, kamu akan bersedia untuk memulakan kerja. Dan selepas setahun lagi, tali air itu akan siap!"
"Ada satu lagi masalah," kata peladang itu. "Tuan harus akui bahawa setelah tali air itu siap, setiap orang dapat mengambil air darinya, sama ada dia menjalankan tugasnya atau tidak."
"Betul tu," kata Nasreddin. "Walaupun kamu mahu, kamu tidak boleh mengawal sepanjang tali air itu."
"Ya, benar," kata peladang itu. "Jadi seseorang yang malas membuat kerja akan mendapat faedah yang sama daripada tali air itu seperti yang lain, tapi tanpa perlu bekerja."
"Itu saya akui," ujar Nasreddin.
"Jadi semua yang pandai mengira akan cuba mengelak menjalankan tugasnya. Satu hari alasannya ialah keldai yang tempang. Hari yang lain pula, anak lelaki seseorang itu batuk. Dan kemudiannya isteri seseorang itu sakit, dan budak dan keldainya diperlukan untuk mendapatkan doktor. Di kampung kami, semua orang pandai mengira, jadi semuanya akan cuba melepaskan diri daripada menjalankan tugas masing-masing. Dan oleh kerana kami semua tahu bahawa yang lain tidak akan memulakan tugas, tiada siapa yang akan menghantar keldai dan budak lelakinya untuk bekerja. Jadi kerja menggali tali air itu tidak akan dimulakan pun."
"Saya harus akui bahawa hujah kamu amat meyakinkan," kata Nasreddin. Dia termenung seketika, kemudian tiba-tiba berkata, "Saya tahu ada sebuah kampung di sebalik gunung yang menghadapi masalah yang sama. Tapi mereka sudah mempunyai tali air selama dua puluh tahun." "Betul," kata peladang itu, "tetapi mereka tidak pandai mengira."
This site has content self published by registered users. If you notice anything that looks like spam or abuse, please contact the author.
|