Martin Auer: Perang Yang Aneh, Cerita-cerita bagi Budaya Keamanan

   
 

Orang Aneh dari Planet Hortus

Please share if you want to help to promote peace!

Diterjemahkan oleh Ain Jaafar

This translation has not yet been reviewed

Si Pelamun
Budak Lelaki Biru
Planet Lobak
Gentar
Gentar Lagi
Orang Aneh dari Planet Hortus
Dua Pelawan
Perang Besar di Marikh
Hamba
Peladang-peladang Yang Pandai Mengira
Perang yang Aneh
Kesesakan Lalu Lintas
Dua Banduan
Keadilan
Laporan kepada Majlis Sistem Suria Bersatu
Bom
Foreword
Download (All stories in one printer friendly file)
Guestbook
About the Translator
About the Author
Mail for Martin Auer
Licence
Creative Commons licence agreement

Di planet Hortus tinggal orang Mangga, orang Jambubatu, orang Nanas dan orang Belimbing. Orang Mangga hidup dengan memakan sos mangga, pai mangga, jeli mangga dan kek mangga. Orang Jambubatu hidup dengan memakan sos jambubatu, pai jambubatu, jeli jambubatu dan kek jambubatu. Begitu juga dengan orang Nanas dan orang Belimbing.

Buat seketika, keadaan berjalan dengan lancar, namun pada suatu hari orang Nanas berasa begitu jelak memakan jeli nanas saban hari. Dan salah seorang daripada mereka berkata, "Kau tahu tak? Kita sepatutnya jadi perompak!"

"Perompak? Apa tu?"

"Senang: pada waktu malam, kita menyelinap di belakang orang Jambubatu dan sedang mereka semua tidur, kita serbu dan belasah mereka.  Kemudian kita ambil seberapa banyak jambubatu yang kita dapat dan larikan diri.  Lepas itu, kita dapat makan sos jambubatu, pai jambubatu, jeli jambubatu dan kek jambubatu."

"Bagus tu! Tentu menyeronokkan!"

Dan mereka menyelinap di belakang kampung orang Jambubatu, dan apabila semuanya sedang tidur, mereka menyerbu kampung itu, memecah-masuk ke dalam rumah dan membelasah orang Jambubatu.  Kemudiannya mereka mengambil seberapa banyak jambubatu yang mereka dapat dan melarikan diri.

Orang Jambubatu berasa amat takut dan sedih. "Apa tu? Ia tak pernah berlaku sebelum ini."

"Orang Nanas sudah gila agaknya?  Kita patut meminta Puan Tangkaiprun berjumpa mereka!"

Puan Tangkaiprun yang sudah tua ini boleh membuat salap daripada biji jambubatu yang boleh mengubati setiap penyakit, kecuali kaki yang patah.

Puan Tangkaiprun pun berlepas membawa salap biji jambubatunya.

Tetapi dia pulang pada sebelah malam. "Mereka tidak mahu diubati," katanya. "Mereka mangancam untuk memukul saya dan menyuruh saya pergi."

"Teruknya! Apa yang akan kita buat sekarang?"

"Jika mereka tidak mahu diubati, maknanya mereka tidak sakit, mereka sememangnya jahat. Kita mesti hukum mereka!"

"Ya, itulah yang akan kita lakukan! Kita serbu mereka dan ambil nanas mereka. Itu baru adil!"

Dan mereka bersorak dan berteriak dengan kuat dan Puan Tangkaiprun sahaja kelihatan risau dan hanya menggeleng-gelengkan kepala.

Maka orang Jambubatu bersiap sedia untuk berperang dan pada malam itu, mereka melancarkan serangan ke atas orang Nanas dan membelasah mereka. Selepas itu, mereka mengambil seberapa banyak nanas yang mereka dapat dan melarikan diri.

"Apa yang akan kau buat, jika mereka datang dan serang kita lagi esok?" Dan semuanya kelihatan risau, tetapi Encik Batu yang muda berkata, "Kita menempatkan saja pengawal-pengawal di sekeliling kampung ini, bersenjatakan galah, dan jika mereka datang, kita belasah mereka."

Dan itulah yang mereka lakukan dan apabila orang Nanas datang lagi beberapa malam kemudiannya, mereka dibelasah teruk.

"Kan aku dah kata! Kita betul-betul hentam mereka. Mereka tidak akan berani menyerbu kita lagi dalam jangka masa yang pendek."

"Bagus, bagus. Tapi engkau tahu tak: kami berjaga setiap malam selama dua minggu dan pada siangnya kami tidur. Sementara itu, kami sudah habiskan semua kek jambubatu dan jeli jambubatu kami dan kami tidak ada masa untuk memasak atau membakar!"

"Jadi tiap-tiap orang harus berikan sesuatu kepada engkau semua! Sebab engkau orang sudah berjaga untuk semua!"

Maka orang Jambubatu memberi para pengawal sesuatu dan Encik Batu mendapat bekalan yang paling banyak.  "Sebab aku terpaksa uruskan segala-galanya! Aku memikul tanggungjawab!"

Tetapi tidak lama kemudian, beberapa orang Jambubatu bersungut kerana sebelum ini, makanan cukup untuk semua orang tetapi kini, oleh kerana semua pemuda berkawal dan tidak menjaga pokok-pokok jambubatu dan memasak dan membakar, makanan tidak lagi cukup untuk semua.

"Baiklah," kata Encik Batu, "salah siapa anak-anak muda kita tidak dapat bekerja tetapi terpaksa berkawal? Salah orang Nanas! Jadi orang Nanaslah yang harus menerima padahnya!"

Bersama askar-askarnya, dia bergerak ke kampung orang Nanas untuk merompak mereka sekali lagi. Tetapi orang Nanas juga telah menempatkan para pengawal dan satu pergaduhan sengit berlaku di pertengahan jalan antara dua kampung tersebut dan orang Jambubatu gagal mendapatkan sebarang nanas.

Kata Encik Batu, "Kita mesti membuat jaring untuk memerangkap pengawal orang Jambubatu. Lepas itu kita dapat mengalahkan mereka dan menjarah kampung mereka!"

Maka kesemua orang Jambubatu terpaksa membuat jaring dan kali ini, serbuan mereka berhasil. Dengan penuh rasa bangga, Encik Batu memimpin anak buahnya pulang dan setiap askar memikul seguni buah nanas di bahu masing-masing. Encik Batu juga memikul sesuatu: tanggungjawab.

Di tengah-tengah kampung, Encik Batu mengarahkan setiap askar melonggokkan nanas mereka. Dia kemudiannya membahagikan timbunan besar itu kepada tiga timbunan yang lebih kecil. "Baik," katanya, "satu longgok akan dibahagikan di kalangan semua orang kampung agar setiap orang mempunyai makanan yang cukup. Satu longgok akan dibahagikan di kalangan askar-askarku sebab mereka telah berjuang dengan begitu berani. Dan satu longgok ialah untukku sebab aku memikul tanggungjawab untuk segala-galanya."

Semua orang bersorak gembira dan menepuk-nepuk bahu Encik Batu. Puan Tangkaiprun sahaja kelihatan risau dan menggeleng-gelengkan kepala, seraya berkata: "Bagaimana kalau orang Nanas juga membuat jaring?"

"Aku tahu! Kita bina tembok di keliling kampung agar mereka tidak dapat menyerbu kampung kita lagi."

Maka orang Jambubatu terpaksa membina tembok di keliling kampung.

Tetapi orang Nanas tidak mahu berdiam diri menanggung malu akibat kekalahan mereka. Dan apabila pengintip-pengintip mereka melaporkan bahawa orang Jambubatu sedang membina sebuah tembok di keliling kampung mereka, orang Nanas juga membina tembok di keliling kampung mereka. Dan mereka membuat jaring untuk memerangkap pengawal-pengawal musuh. Mereka juga membina tangga agar mereka dapat memanjat ke atas tembok orang Jambubatu. Dan pada suatu malam, dengan tangga mereka, mereka menceroboh kampung orang Jambubatu dan merampas segala harta mereka.

"Sudahlah tu! Kita mesti ajar nanas-nanas lembik tu habis-habisan." Dan Encik Batu mengarahkan orang Jambubatu membina sebuah menara beroda yang sangat besar. Dia akan menolaknya sampai ke tembok kampung orang Nanas dan melontar bola api ke atas rumah-rumah orang Nanas. Tetapi, sementara itu, orang Nanas sedang membina sebuah katapel yang besar sekali yang akan mereka gunakan untuk merobohkan tembok kampung orang Jambubatu.

Dan pada suatu malam, tentera orang Jambubatu merangkak senyap-senyap ke arah kampung orang Nanas dan tentera orang Nanas merangkak senyap-senyap ke arah kampung orang Jambubatu. Oleh kerana malam itu gelap dan berkabus, tentera-tentera itu melintasi satu sama lain tanpa menyedarinya. Apabila orang Jambubatu telah menempatkan menara mereka di hadapan tembok orang Nanas, Encik Batu memanjat ke atas dan memekik, "Buka pintu gerbang dan menyerah, jika tidak kami akan membakar seluruh kampungmu."

Oleh kerana tentera orang Nanas tidak ada, orang kampung membuka pintu gerbang dan membenarkan orang Jambubatu masuk.  

Dan apabila orang Nanas telah menolak katapel mereka sampai ke tembok kampung orang Jambubatu, ketua mereka menulis di atas cebisan kertas: "Menyerah, jika tidak seluruh kampungmu akan kami bedil bertubi-tubi." Dia melilit nota itu di sekeliling sebiji batu dan membedilnya melewati tembok. Dan orang Nanas pun membuka pintu gerbang mereka dan membenarkan orang Jambubatu masuk.

Namun apabila askar-askar mula menjarah, mereka dapati hampir tiada apa-apa di sana. Cuma beberapa belanga yang mengandungi jeli nanas atau jeli jambubatu, beberapa keping kek yang sudah kering, dan saki-baki pai, itu pun sudah berlapuk.

"Tidak ada apa-apa yang tinggal," kata orang Nanas kepada askar-askar Jambubatu. "Kami tidak sempat memasak atau menjaga pokok. Masa kami dihabiskan dengan berperang." 

"Kami tidak ada apa-apa," kata orang Jambubatu kepada askar-askar Nanas. "Kami tidak sempat menjaga pokok atau membakar kek. Masa kami dihabiskan dengan berperang."

"Cis!" kata ketua tentera Nanas dan berpatah balik.

"Jahanam!" kata Encik Batu dan memimpin tenteranya pulang.

Pada waktu subuh, kedua-kedua pasukan bertembung separuh jalan di antara dua kampung itu, dan oleh kerana mereka berasa begitu marah, mereka mula menghentam satu sama lain.  Namun kedua-dua fil marsyal tidak menyertai mereka. Masing-masing berdiri di atas sebuah bukit kecil dan memandang satu sama lain dengan air muka yang meluat dan memikirkan nasib masing-masing.

Bila mereka merasakan bahawa kedua-dua tentera telah berkelahi cukup lama, mereka memberi arahan untuk berundur, dan bersama tentera masing-masing, mereka berangkat pulang ke kampung mereka.

Esoknya, Encik Batu mengumpulkan kesemua orang Jambubatu dan berkata, "Baiklah, sekarang kita mesti bekerja keras tanpa berlengah-lengah lagi dan membakar beberapa keping kek jambubatu dengan cepat. Kita mesti bakar lebih pantas daripada musuh kita, supaya kita akan bersedia lebih cepat daripada mereka dalam pertempuran yang selanjutnya!"

Tapi Puan Tangkaiprun berkata, "Kita tidak boleh buat begitu sebab dah tak ada sebarang jambubatu pun kerana tiada siapa yang menjaga pokok-pokok kita. Semuanya sudah mati. Dan kita juga tidak ada tepung untuk membuat kek. Lagipun, kita tidak boleh terus begini. Apa tujuannya merompak satu sama lain? Jika kita hendak makanan yang cukup, setiap orang daripada kita harus bekerja kuat sepanjang hari; kita mesti berbuat begitu, begitu juga dengan orang Nanas. Merompak tidak menghasilkan jambubatu atau pun nanas. Kita harus berdamai dengan orang Nanas!"

Dan orang Jambubatu, yang ingin kembali menjaga pokok-pokok jambubatu dan membuat pai, bersetuju dengannya.

Cuma seorang saja yang marah iaitu Encik Batu. Sebab jika tiada peperangan, dia tidak boleh memberi arahan dan memikul tanggungjawab, dan tidak ada harta rampasan di mana dia boleh mendapatkan bahagian yang paling besar.

Dia merayau-rayau ke kampung orang Belimbing dan berkata kepada mereka, "Dengar sini. Orang Nanas tidak ada apa-apa lagi untuk mereka makan. Mereka belanjakan semuanya untuk perang. Jadi ada kemungkinan besar orang Nanas akan mula merompak kamu selepas ini!"

Orang Belimbing menggaru kepala dan berkata, "Kami tak pernah buat apa-apa terhadap mereka!"

"Itu tak penting," kata Encik Batu. "Mereka tu perompak dan akan merampas apa saja yang mereka dapat."

"Dahsyat betul!" kata orang Belimbing. "Apa yang harus kami buat? Kami tak tahu apa-apa tentang berperang."

"Tapi kami tahu!" kata Encik Batu. "Aku ada satu cadangan: beri kami beberapa busyel belimbing - dan kami akan melindungi kamu daripada orang Nanas."

"Baiklah," keluh orang Belimbing. "Kami tak ada pilihan lain."

Encik Batu kemudiannya pulang ke kampung orang Jambubatu dan memberitahu orang Jambubatu, "Hampir setahun lagi sebelum musim memetik jambubatu yang akan datang! Engkau semua nak makan apa sementara itu? Jika kita berdamai, kita akan kelaparan selama setahun. Tapi jika kita bergabung dengan orang Belimbing untuk menentang orang Nanas, kita akan dapat belimbing daripada mereka sekarang juga."

"Ya, itu lebih baik," teriak orang muda, yang sudah biasa berperang. "Kami berperang lebih baik daripada menanam jambubatu."

Orang Jambubatu yang lain menggaru kepala dan berkata, "Berlapar selama setahun! Siapa yang boleh tahan?" Dan mereka juga bersetuju dengan cadangan Encik Batu.

Puan Tangkaiprun sahaja kelihatan risau dan hanya menggeleng-gelengkan kepala.

Namun, sementara itu, fil marsyal orang Nanas telah membentuk sebuah perikatan dengan orang Mangga. Dan segala-galanya bermula semula: orang Belimbing dan orang Mangga juga terpaksa membina tembok di keliling kampung mereka dan membuat jaring dan membina katapel dan menara kepungan, dan mereka juga terpaksa memberi separuh daripada buah-buahan mereka kepada pelindung mereka. Dan selepas setahun berlalu, tidak ada apa-apa yang tinggal untuk dimakan dan tidak ada apa-apa yang tinggal untuk dicuri di seluruh planet tersebut.

Puan Tangkaiprun kemudiannya mengumpulkan semua wanita di planet itu - ia dapat dilakukan kerana hanya ada empat buah kampung - dan dia berkata kepada mereka,

"Kita tidak boleh terus hidup begini. Merompak dan berperang tidak menghasilkan jambubatu dan belimbing dan mangga dan nanas. Seseorang mesti menjalankan tugas menanam pokok-pokok tersebut, jika tidak, tidak akan ada sebarang harta rampasan pun.  Oleh kerana makanan kita cukup-cukup untuk keperluan kita apabila setiap orang menjalankan tugas masing-masing, kita tidak boleh habiskan masa merompak dan menyamun! Kamu tak boleh makan jaring dan tangga dan katapel dan menara kepungan!"

"Betul!" kata wanita-wanita itu.

"Jadi, beritahu suami-suami kamu bahawa mereka patut berjabat tangan sesama mereka dan kembali ke kebun dengan segera! Jika tidak, kita semua akan mati kebuluran!"

"Baiklah!" kata wanita-wanita itu.

Maka satu perjanjian ditandatangani dan orang lelaki semuanya bersalam-salaman dengan satu sama lain dan menggumamkan, "Maaf, ia tak akan berlaku lagi." Dan planet Hortus kembali aman. Dan selepas dua, hampir tiga tahun, semua orang sekali lagi mempunyai makanan yang cukup, dan Puan Tangkaiprun menyiapkan jeli jambubatu untuk diberikan ke kampung-kampung yang lain, dan wanita-wanita dari kampung-kampung yang lain pula menghantar kek mangga dan sos nanas dan pai belimbing.

Oleh kerana keadaan aman kekal sekian lama, para penduduk juga mempunyai masa untuk berfikir dalam-dalam tentang peristiwa silam dan mencipta benda-benda baru. Seorang mencipta penyepit khas yang boleh digunakan untuk memetik mangga tanpa memanjat pokok. Dan seorang lagi menghasilkan pelbagai jenis rimbun belimbing. Dan seorang mencipta alat yang memudahkan mengeluarkan biji daripada buah jambubatu. Dan seorang lagi mencipta pisau khas untuk mengupas nanas.

"Ini bagus sekali," kata wanita-wanita, "sekarang setiap orang hanya perlu bekerja separuh hari dan masih ada cukup makanan untuk semua."

Tetapi pada suatu hari Encik Batu bangkit dan berkata kepada orang Jambubatu, "Macam ini tak bagus. Orang semua duduk-duduk sahaja tidak berbuat apa-apa sebab tugas kita menjadi semakin mudah dengan alat yang dapat mengeluarkan biji jambubatu. Bagaimana kalau orang Nanas menyerbu kita dan memaksa kita bekerja separuh hari untuk mereka? Orang Nanas mencipta pengupas nanas yang baru. Ia menimbulkan bahaya yang besar sebab, sekiranya mereka tidak perlu lagi bekerja sepanjang hari agar mereka mempunyai makanan yang cukup, mereka sekarang mempunyai masa untuk membina menara kepungan dan katapel baru! Jadi kita tidak boleh menghabiskan setengah daripada hari kita bermain dan bersembang: dengan alat membuang biji jambubatu kita yang baru, kita sekarang ada masa yang cukup untuk memikirkan tentang pertahanan kita. Daripada bekerja hanya separuh hari, adalah lebih baik sekiranya separuh daripada kita bekerja sepanjang hari dan yang separuh lagi membina katapel dan meluangkan masa untuk berlatih. Kini kita mampu mempunyai pasukan askar tetap. Itu sahaja caranya untuk melindungi diri kita daripada satu lagi serangan oleh orang Nanas yang akan memperhambakan kita satu hari nanti!"

Dan segala-galanya hampir bermula semula, sekiranya . . .

. . . sekiranya Puan Tangkaiprun tidak bangun dan menampar muka Encik Batu, diperhatikan oleh semua orang. Dan Encik Batu duduk semula dengan tenang dan tidak lagi menuturkan sepatah perkataan pun selepas itu.

   
 

This site has content self published by registered users. If you notice anything that looks like spam or abuse, please contact the author.