Martin Auer: Perang Yang Aneh, Cerita-cerita bagi Budaya Keamanan

   
 

Budak Lelaki Biru

Diterjemahkan oleh Ain Jaafar

This translation has not yet been reviewed

Si Pelamun
Budak Lelaki Biru
Planet Lobak
Gentar
Gentar Lagi
Orang Aneh dari Planet Hortus
Dua Pelawan
Perang Besar di Marikh
Hamba
Peladang-peladang Yang Pandai Mengira
Perang yang Aneh
Kesesakan Lalu Lintas
Dua Banduan
Keadilan
Laporan kepada Majlis Sistem Suria Bersatu
Bom
Foreword
Download (All stories in one printer friendly file)
Guestbook
About the Translator
About the Author
Mail for Martin Auer
Licence
Creative Commons licence agreement

Nun jauh di sebalik bintang-bintang, segala-galanya amat berbeza dari sini. Dan lebih jauh lagi, semuanya adalah jauh lebih berbeza dari di sana, di mana segalanya-galanya amat berbeza dari sini.  Tetapi jika kamu terbang jauh, jauh lagi ke hadapan, ke tempat di mana semuanya betul-betul berbeza dari di merata-rata tempat, barangkali keadaan di sana hampir serupa dengan di sini.

Barangkali, di tempat yang jauh ini, terdapat sebuah planet sebesar Bumi kita, dan barangkali penduduk yang tinggal di planet ini mempunyai wajah yang hampir serupa dengan kita, melainkan mereka berkulit biru dan boleh melipat-tutup telinga mereka apabila mereka tidak mahu mendengar apa-apa.

Dan barangkali perang meletus di planet yang jauh ini, dan ramai orang kulit biru yang mati. Ramai menjadi anak yatim piatu, dan di tengah-tengah runtuhan salah sebuah rumah yang dimusnahkan oleh bom ada seorang budak lelaki biru duduk menangis kerana ibu dan ayahnya telah terkorban. Cukup lama dia duduk menangis di situ, namun dia berhenti akhirnya kerana sudah kering air matanya. Dia menarik kolarnya ke atas, memasukkan tangan ke dalam saku dan meninggalkan tempat itu. Bila dia terpandang batu, dia menendang batu itu, dan bila dia terpandang bunga, dia memijak bunga itu.

Seekor anjing kecil mendekatinya, memandang kepadanya, dan mula menggoyang-goyangkan ekornya. Kemudian ia berpusing dan mula berjalan di sebelah budak lelaki itu, seolah-olah ia telah memutuskan untuk menemaninya.

"Pergi!" kata budak lelaki itu kepada anjing itu. "Kau harus pergi. Jika engkau tinggal bersamaku, aku terpaksa menyayangimu, dan aku tidak mahu lagi menyayangi sesiapa pun sepanjang hayatku."

Anjing itu memandang kepadanya dan menggoyangkan ekornya kegirangan. Budak lelaki itu kemudiannya menjumpai selaras senapang patah yang terletak di sisi seorang askar yang tidak bernyawa. Dia mengambil senapang itu dan menunjukkannya kepada anjing itu. "Senapang ini boleh membunuhmu!" kata budak itu dengan nada marah. Anjing itu pun lari.

"Aku akan membawamu bersamaku!" kata budak lelaki itu kepada senapang tersebut. "Kau akan menjadi teman baikku." Dan dia menembak ke arah sebatang pokok yang sudah mati dengan senapang itu.

Dia kemudiannya menjumpai sebuah skuter terbang yang terbiar di sebuah padang. Dia menaiki skuter itu dan cuba menghidupkannya. Skuter itu masih berfungsi.

"Sekarang aku ada senapang dan skuter terbang," kata budak lelaki itu. "Mereka adalah keluargaku. Aku juga boleh memiliki seekor anjing, tapi ia mungkin terkorban, nanti aku tentu akan mati menangisinya."

Dia terbang menggunakan skuternya sehingga dia ternampak sebuah rumah serta asap yang keluar dari serombongnya. "Ada orang yang masih tinggal di situ," kata budak itu. Dia mengelilingi rumah itu dan melihat ke dalam menerusi tingkap. Di dalam hanya terdapat seorang perempuan tua yang sedang memasak sesuatu.

Budak lelaki itu meletakkan skuternya di hadapan rumah itu, lalu mengambil senapangnya dan masuk ke dalam. "Aku ada senapang!" katanya kepada perempuan tua itu. "Makcik mesti beri aku makan!"

"Marilah, makcik memang akan beri engkau makan," kata perempuan tua itu. "Engkau boleh simpan senapangmu."

"Aku tak mahu makcik berbuat baik kepadaku!" jawab budak itu dengan nada marah. "Senapangku boleh membunuh makcik!"

Maka perempuan tua itu memberinya makan, dan budak itu kemudiannya meninggalkan tempat itu.

Begitulah kehidupan budak lelaki itu sekarang. Dia membina sebuah tempat persembunyian di dalam sebuah rumah yang terbiar. Apabila dia berasa lapar, dia terbang ke tempat yang didiami orang, dan dengan senapangnya memaksa mereka memberinya makan.

Pada lain masa, dia terbang ke medan perang yang terbiar dan mengumpulkan bahagian-bahagian daripada senjata dan kereta kebal dan trak yang ditinggalkan di sana. Dia membawa pulang kesemuanya ke tempat persembunyiannya.

"Aku akan membina sebuah robot perisai raksasa!" dia berkata sendirian. "Tingginya seratus kaki, dan beratnya seratus ribu tan, dan di bahagian kepalanya akan kubina tempat pemandu. Aku akan mempunyai kuasa dan tiada siapa yang boleh mengapa-apakan diriku."

Pada suatu hari, seorang budak perempuan singgah di tempat persembunyiannya. Budak lelaki itu keluar dengan senapangnya dan berkata: "Engkau harus pergi! Senapangku boleh menembakmu!"

"Aku tak mahu kacau engkau," kata budak perempuan itu. "Aku cuma ingin lihat sama ada cendawan telah mula tumbuh semula."

"Kau harus pergi!" kata budak lelaki itu. "Aku tak mahu sesiapa pun di kelilingku!"

"Kau seorang dirikah?" tanya budak perempuan itu.

"Tidak," kata budak lelaki itu. "Aku ada senapang dan skuter terbang. Mereka adalah keluargaku. Dan pada suatu hari, aku akan memiliki sebuah robot perisai raksasa!"

"Kau tak punya sesiapa yang hidup?"

"Aku boleh memiliki seekor anjing. Tapi jika ada orang membunuhnya, aku tentu akan mati menangisinya."

"Aku pun tiada sesiapa," kata budak perempuan itu. "Kita boleh tinggal bersama."

"Aku tak mahu mempunyai sesiapa yang boleh ditembak mati oleh senapang!"

"Jadi aku rasa engkau terpaksa mencari seseorang yang tidak boleh ditembak mati oleh senapang!" kata budak perempuan itu dan dia pun berlalu pergi.

Namun budak lelaki itu membina sebuah robot perisai raksasa dan masuk ke dalamnya. Dia duduk di bahagian atas robot tersebut, di mana terdapat tempat pemandu berserta kawalannya.

Dia kemudiannya bertolak dan memandu di merata negeri di dalam robot perisai raksasanya.

Di merata-rata tempat, orang-orang menjerit apabila mereka melihat ia tiba, dan mereka mahu melarikan diri. Tetapi mereka tidak dapat melarikan diri daripada robot perisai raksasa itu.

Budak lelaki itu mempunyai mikrofon di tempat pemandunya, dan segala yang dia katakan menerusi mikrofon itu menderum dari mulut robot. "Ada sesiapa di sini yang tidak boleh ditembak mati?" teriak robot itu. Tetapi ke mana saja dia pergi, orang ramai melarikan diri daripadanya, dan dia tidak pernah menemui sesiapa yang tidak boleh ditembak mati.

Namun pada suatu hari, dari tempat pemandunya, dia dapat melihat seorang di bawah yang tidak melarikan diri daripadanya tetapi cuma berdiri tegak dan berteriak sesuatu kepadanya. Tetapi dia berada terlalu tinggi di atas dan tidak memahami apa yang orang itu ucapkan.

"Barangkali orang itu tidak boleh ditembak mati?" fikir budak itu dan dia turun dari tempat pemandunya. Rupa-rupanya orang itu adalah perempuan tua yang telah memberinya makan tidak lama dulu. "Makcik hendak katakan sesuatu kepadaku?" tanya budak lelaki itu.

"Ya," jawab perempuan tua itu. "Makcik dapat tahu ada seseorang yang tidak boleh ditembak mati. Makcik fikir makcik perlu beritahu kau tentangnya."

"Siapa dia?" tanya budak itu.

"Dia seorang lelaki tua yang tinggal di bulan."

"Jadi aku terpaksa mencarinya," kata budak itu, "sebab aku tak mahu mempunyai sesiapa di kelilingku yang boleh ditembak mati." Dan dia menekan suis dan robot perisai raksasa itu bertukar menjadi sebuah roket perisai raksasa dan dia terbang ke bulan di dalamnya.

Di bulan, budak lelaki itu mencari cukup lama. Tetapi akhirnya dia menemukan lelaki tua itu. Dia sedang duduk di belakang teleskopnya dan melihat ke bawah ke arah planet biru.

"Pakcikkah orang yang tidak boleh ditembak mati?"

"Pakcik rasa begitulah," kata lelaki tua itu.

"Apa yang pakcik lihat menerusi teleskop tu?"

"Pakcik sedang belajar tentang orang-orang di planet di bawah sana."

"Pakcik rasa boleh tak aku tinggal dengan pakcik?" tanya budak itu.

"Mungkin," jawab lelaki tua itu. "Apa yang istimewa tentang pakcik?"

"Sebab aku tak mahu tinggal dengan seseorang yang boleh ditembak mati. Bila ibu bapa aku meninggal, aku menangis hingga kering air mataku. Aku boleh memiliki seekor anjing, tapi jika ada orang yang membunuhnya, aku tentu akan mati menangisinya. Dan aku juga boleh tinggal dengan seorang perempuan tua atau dengan seorang budak perempuan. Tapi mereka tidak kalis peluru, dan jika mereka terkorban, aku tentu akan mati menangisi mereka."

"Baiklah," kata lelaki tua itu, "engkau boleh tinggal dengan pakcik. Tiada siapa yang boleh menembak mati pakcik kerana tidak ada senapang di sini."

"Itu saja sebabnya?" tanya budak itu.

"Ya, itu saja," jawab lelaki tua itu.

"Tapi aku bawa senapangku bersamaku."

"Sayang sekali," kata lelaki tua itu, "sekarang engkau tak boleh duduk dengan pakcik. Senapangmu boleh menembak mati pakcik."

"Jadi aku harus pulang," kata budak itu.

"Ya," kata lelaki tua itu.

"Sayang sekali," kata budak itu.

"Kau rasa kesalkah?" tanya lelaki tua itu.

"Ya," ujar budak itu, "aku tentu akan suka tinggal di dini."

"Mungkin kau boleh buang senapangmu?" ujar lelaki tua itu.

"Mungkin," kata budak itu.

"Dan selepas itu kau boleh tinggal dengan pakcik," kata lelaki tua itu.

"Mungkin," kata budak itu. "Dan apa yang akan aku buat selepas itu?"

"Engkau boleh melihat menerusi teleskop ini. Mungkin selepas itu engkau dapat tahu kenapa orang-orang di bawah sana selalu berperang."

"Kenapa mereka berperang?"

"Entahlah, pakcik pun tak tahu. Mungkin kerana mereka kurang tahu tentang satu sama lain. Mereka itu ramai dan kehidupan mereka agak rumit, sebab itu mereka tidak tahu bagaimana tindak-tanduk mereka akan memberi kesan ke atas orang lain. Pakcik rasa mereka tidak tahu dari mana datangnya daging yang mereka makan atau di mana perginya roti yang mereka bakar. Pakcik agak mereka tidak tahu sama ada besi yang mereka gali dari tanah digunakan untuk membuat jentolak atau meriam. Barangkali mereka tidak tahu sama ada daging yang mereka makan tidak di ambil daripada orang lain. Jika mereka dapat melihat diri mereka sendiri dari atas, barangkali mereka akan lebih memahami tentang banyak perkara."

"Jadi mesti ada seseorang untuk menerangkan itu semua kepada mereka?" kata budak lelaki itu.

"Mungkin," kata lelaki tua itu, "tapi pakcik terlalu tua dan terlalu penat untuk itu."

Hanya pada ketika itulah budak lelaki itu melepaskan senapangnya, dan senapang itu jatuh ke bawah menerusi ruang angkasa, sampai ke planet dan di sana, ia pecah berkecai.

Tetapi budak lelaki itu tinggal sekian lama bersama lelaki tua itu di bulan dan melihat menerusi teleskop dan mempelajari tentang orang-orang di bawah sana. Dan mungkin, pada satu hari, dia akan terbang ke sana dan menerangkan kepada mereka tentang kesilapan mereka.

   
  This site has content self published by registered users. If you notice anything that looks like spam or abuse, please contact the author.