Martin Auer: Perang Yang Aneh, Cerita-cerita bagi Budaya Keamanan

   
 

Perang yang Aneh

Please share if you want to help to promote peace!

Diterjemahkan oleh Ain Jaafar

This translation has not yet been reviewed

Si Pelamun
Budak Lelaki Biru
Planet Lobak
Gentar
Gentar Lagi
Orang Aneh dari Planet Hortus
Dua Pelawan
Perang Besar di Marikh
Hamba
Peladang-peladang Yang Pandai Mengira
Perang yang Aneh
Kesesakan Lalu Lintas
Dua Banduan
Keadilan
Laporan kepada Majlis Sistem Suria Bersatu
Bom
Foreword
Download (All stories in one printer friendly file)
About the Translator
About the Author
Mail for Martin Auer
Licence
Creative Commons licence agreement

Bücher und CDs von Martin Auer


In meinem Haus in meinem Kopf
Gedichte für Kinder

Die Prinzessin mit dem Bart
Joscha unterm Baum
Was die alte Maiasaura erzählt

Die Erbsenprinzessin

Der wunderbare Zauberer von Oz - Hörbuch zum Download

Die Jagd nach dem Zauberstab, Roman für Kinder - Hörbuch zum Download
Der seltsame Krieg
Geschichten über Krieg und Frieden

Zum Mars und zurück - Lieder
Lieblich klingt der Gartenschlauch - Lieder
Lieschen Radieschen und andere komische Geschichten - CD

Di sebuah planet asing atau pada suatu masa dulu, terdapat dua buah negara bernama Di Sini dan Di Sana. Ada juga negara-negara lain seperti Di Sebelah atau Jauh, tetapi cerita ini ialah mengenai Di Sini dan Di Sana.

Pada suatu hari, ketua negara Di Sini, si Angkuh, menyampaikan ucapan kepada rakyatnya. Beliau berkata bahawa Di Sini sedang ditekan oleh negara Di Sana dan rakyat Di Sini tidak lagi boleh berdiam diri dan menyaksikan Di Sana menggunakan sempadannya untuk membatasi penduduk Di Sini. 

"Mereka berada terlalu dekat dengan kita hinggakan kita tidak punya ruang untuk bernafas!" teriak si Angkuh. "Kita begitu sesak sehinggakan kita tidak dapat bergerak pun. Mereka tidak bersedia beranjak walau seinci pun untuk memberi kita sedikit ruang, untuk memberi kita sedikit kebebasan untuk bergerak. Tetapi jika mereka tidak mahu berbuat begitu untuk kita, walaupun sedikit, maka kita harus memaksa mereka berbuat demikian.

Kita tidak mahukan peperangan. Jika ia bergantung kepada kita, keamanan akan berkekalan. Tetapi malangnya ia tidak bergantung kepada kita. Jika mereka tidak bersedia untuk beranjak sedikit pun dengan negara mereka, maka mereka akan memaksa kita untuk berperang dengan mereka. Tetapi kita tidak akan membiarkan peperangan dipaksa ke atas kita. Bukan kita! Kita tidak akan membiarkan mereka memaksa kita mengorbankan anak lelaki kita tanpa tujuan, agar wanita-wanita kita menjadi balu, anak-anak kita yatim piatu! Sebab itulah, rakyat sekalian, demi mempertahankan diri kita, demi mempertahankan keamanaan, demi menyelamatkan anak-anak kita, dengan ini saya dengan rasminya mengisytiharkan perang ke atas negara Di Sana!"

Rakyat Di Sini yang kebingungan pertama sekali memandang ke arah satu sama lain. Mereka kemudiannya memandang kepada si Angkuh. Dan mereka kemudiannya memandang kepada pasukan polis khas lengkap dengan topi perisai dan senjata laser-pemusnah mereka. Polis-polis tersebut sedang berdiri di sekitar medan bandar dan bertepuk dengan penuh ghairah dan bersorak, "Hidup si Angkuh! Hapuskan orang Di Sana!"

Dan perang pun bermula.

Pada hari itu juga, tentera Di Sini menyeberangi sempadan. Pemandangannya menakjubkan. Kereta perisai mereka kelihatan seperti ikan naga besi raksasa. Ia memusnahkan segala-gala yang menghalang laluannya. Ia boleh melepaskan grenad dari meriamnya yang meranapkan segala-galanya dan ia boleh meluahkan gas beracun yang menghapuskan semua orang. Setiap kereta perisai meninggalkan zon maut seluas 100 kaki di belakang.

Di hadapan mereka terbentang hutan menghijau yang indah, dan di belakang mereka, tidak ada apa-apa pun yang tinggal.

Langit menjadi gelap dipenuhi pesawat yang mengawan di ruang angkasa, dan orang ramai yang berdiri di atas bumi jatuh tersungkur, bunyi pesawat sahaja menimbulkan perasaan gentar dalam diri mereka. Dan di mana pesawat berlalu, bom-bom turut digugurkan.

Di antara pesawat raksasa di udara dan kereta perisai di bumi, sejumlah besar helikopter berdesing, seperti nyamuk-nyamuk halus yang kejam. Walau bagaimanapun, askar-askar kelihatan seperti robot-robot keluli dengan baju perisai mereka yang membuat mereka kebal, tidak dapat dimusnahkan oleh peluru, gas, racun dan bakteria.

Di tangan mereka, askar-askar membawa senjata kombat individu yang berat yang boleh menyembur peluru meriam yang boleh membawa maut atau sinar laser yang mencairkan segala-galanya yang menghalang mereka.

Beginilah caranya tentera Di Sini yang tidak boleh dihalang itu mara, tanpa belas kasihan dengan niat menghapuskan setiap musuh. Tetapi anehnya, mereka tidak menemui sebarang musuh.  

Pada hari pertama, tentera tersebut mara sejauh sepuluh kilometer ke dalam kawasan musuh, pada hari kedua, sejauh dua puluh kilometer. Pada hari ketiga, mereka menyeberangi sebatang sungai yang besar.  Di mana-mana, mereka hanya menemukan kampung-kampung yang ditinggalkan, ladang-ladang yang sudah dituai, kilang-kilang yang terbiar, gudang-gudang yang kosong. "Mereka sedang bersembunyi, dan apabila kita melintasi mereka, mereka akan menyerang kita dari belakang!" teriak si Angkuh. "Periksa semua para rumput kering dan timbunan baja!"

Askar-askar merodok timbunan baja, tetapi apa yang mereka temui dalam proses tersebut hanyalah timbunan dokumen-dokumen pengenalan: lesen pemandu, surat beranak, dan pasport, rekod suntikan, rekod sekolah; resit bagi bayaran lesen anjing dan TV kabel, dan beratu-beratus dokumen lain. Dan gambar-gambar telah dikoyakkan dari dokumen-dokumen yang memerlukan gambar. Tiada siapa yang tahu apa makna ini semua.

Satu masalah besar ialah tanda-tanda jalan yang menunjukkan arah telah ditarik keluar atau dipusingkan ke arah yang salah atau disapu cat. Tetapi sebahagiannya betul, jadi anda tidak boleh mengharapkan yang ianya salah. Askar-askar sering sesat, seluruh kompeni tidak dapat mencari jalan mereka, divisyen-divisyen salah jalan, dan ramai jeneral yang ditinggalkan menyumpah seranah dan menghantar penunggang motosikal ke semua arah untuk mencari askar-askar mereka. Si Angkuh terpaksa mendapatkan juruukur dan guru ilmu alam supaya negara yang ditawan itu dapat dipetakan dengan betul.

Pada hari keempat kempen, askar-askar Di Sini menangkap tawanan mereka yang pertama. Dia bukanlah seorang askar, tetapi seorang penduduk awam yang dijumpai di hutan dengan sebuah bakul cendawan di belakangnya. Si Angkuh mengarahkan lelaki itu dibawa kepadanya untuk disoal-siasat. Tawanan itu berkata namanya ialah Mat si anu dan kerjanya ialah mengumpul cendawan. Dia berkata kad pengenalannya sudah hilang dan dia tidak tahu di mana tentera Di Sana berada.

Dalam beberapa hari berikutnya, tentera Di Sini menangkap beberapa ribu orang awam. Semuanya bernama Mat atau Minah si anu, dan tidak seorang pun daripada mereka mempunyai dokumen pengenalan. Si Angkuh naik radang.

Akhirnya, tentera Di Sana menduduki kota besar mereka yang pertama. Di mana-mana, askar-askar dapat dilihat mengecat nama-nama jalan di tembok. Mereka terpaksa meminta peta-peta kota dihantar oleh perkhidmatan risik. Sudah tentu, disebabkan keadaan tergesa-gesa, terdapat banyak kesilapan, dan sebahagian jalan diberi satu nama di sebelah kanan jalan dan nama yang lain pula di sebelah kiri dan satu nama di pangkal jalan dan yang lain pula di hujung jalan.

Kompeni-kompeni askar sentiasa merayau-rayau di sekitar kota tanpa tujuan, di hadapan mereka seorang sarjan yang memaki hamun, dengan peta kota di tangannya. Secara umum, tidak ada apa-apa pun yang berfungsi di kota itu. Loji kuasa elektrik tidak berfungsi, begitu juga syarikat gas dan syarikat telefon. Tidak ada satu pun yang berfungsi.

Si Angkuh dengan segera mengumumkan bahawa mengadakan mogok dilarang dan setiap orang harus pergi bekerja dengan tidak berlengah lagi.

Dan para penduduk pergi ke kilang dan pejabat, tetapi masih lagi tidak ada apa-apa pun yang berfungsi. Bila askar-askar pergi ke tempat tersebut dan bertanya, "Mengapa tiada siapa yang bekerja di sini?" para pekerja berkata, "jurutera tidak ada di sini" atau "ketua teknisyen tidak ada di sini" atau "Pengarah, Puan Anu si anu, tidak ada di sini."

Tetapi bagaimana pengarah, Puan Anu si anu dapat ditemui sedang semua wanita bernama Minah si anu? Si Angkuh mengumumkan bahawa mereka yang tidak menggunakan nama dan gelaran mereka yang betul akan ditembak. Maka penduduk Di Sana tidak lagi menamakan diri mereka Mat atau Minah tetapi menggunakan sebarang nama, tetapi apa gunanya?

Semakin jauh tentera mara ke dalam negara tersebut, semuanya menjadi semakin sukar. Tidak lama kemudian, mereka tidak lagi berupaya mendapatkan makanan yang segar untuk askar-askar; segala-galanya terpaksa dibawa masuk dari Di Sini. Landasan kereta api tidak berjalan; pemandu kereta api berdiri di sekitar landasan atau memandu kereta api berulang-alik. Para konduktor tidak dapat memutuskan siapa yang harus menjaga gerabak yang mana, dan sudah tentu semua ketua yang tahu bagaimana kerja sepatutnya dijalankan telah menghilangkan diri. Tiada siapa dapat mencari mereka.

Tiada siapa berbuat sesuatu untuk mengapa-apakan askar-askar tersebut. Maka tidak lama kemudian, mereka menjadi cuai, berjalan di sana sini dengan visor helmet perisai mereka terbuka dan berbual-bual dengan para penduduk. Dan penduduk Di Sana, yang menyembunyikan segala barang yang boleh dimakan daripada komando perampas tentera, berkongsi makanan yang mereka ada dengan askar-askar secara perseorangan atau menukarkan daun salad segar atau kek buatan sendiri dengan makanan dalam tin. Askar-askar itu mempunyai banyak makanan dalam tin dan mereka sebenarnya sudah jelak dan bosan dengan makanan tersebut.

Bila si Angkuh mendapat tahu tentang perkara tersebut, beliau menjadi sangat marah, dan beliau mengeluarkan arahan melarang semua askar meninggalkan tempat penginapan mereka kecuali apabila keluar meronda bersama unit mereka. Askar-askar sama sekali tidak suka akan arahan itu.

Akhirnya pihak tentera menduduki ibu kota Di Sana. Namun di sini juga segala-galanya adalah seperti di mana-mana saja di negara ini. Tidak ada tanda jalan, tidak ada nombor rumah, dan tidak ada nama keluarga di pintu. Tidak ada pengarah, jurutera, ketua teknisyen, pegawai polis dan pegawai pekhidmatan awam. Agensi-agensi kerajaan kosong dan semua fail telah hilang. Tiada siapa yang tahu di mana pentadbiran nasional.

Si Angkuh memutuskan bahawa beliau akhirnya terpaksa berkeras. Beliau mengumumkan bahawa semua orang dewasa dikehendaki pergi ke kilang dan pejabat mereka. Sesiapa yang duduk di rumah akan ditembak.

Beliau sendiri kemudiannya pergi ke loji kuasa elektrik dan mengarahkan semua askar dan para pegawai, yang berada di rumah, yang terlibat dalam loji kuasa elektrik untuk pergi ke sana juga. Beliau menyampaikan ucapan kepada para pekerja, dan kemudiannya beliau berkata bahawa kuasa elektrik akan kembali dalam masa dua jam. Para pegawai memberi arahan dan askar-askar mengawasi keadaan, dan pekerja loji kuasa elektrik berulang-alik dan melakukan apa yang para pegawai arahkan. Sudah tentu ini menyebabkan keadaan huru-hara  dan tidak ada kuasa elektrik.

Si Angkuh kemudiannya memanggil semula para pegawai dan berkata kepada pekerja loji kuasa elektrik, "Jika tidak ada kuasa elektrik dalam masa setengah jam, kamu semua akan ditembak!" Dan dalam masa setengah jam terdapat cahaya lampu. Dan si Angkuh berkata, "Kau tengok, si pemalas, aku hanya perlu mengasak kau semua!" dan bersama askar-askarnya, beliau kemudiannya pergi ke kilang gas untuk melakukan perkara yang sama.

Tetapi pada esoknya, sekali lagi tidak ada kuasa elektrik. Si Angkuh menjadi sangat marah dan apabila beliau dan trup penghapusannya yang dilatih secara khusus bergerak ke loji kuasa elektrik untuk menghapuskan kesemua pekerja, loji kuasa elektrik itu kosong, dan para pekerja dan pegawai telah berpadu dengan mereka yang bekerja di kilang dan pejabat.

Si Angkuh kemudiannya mengarahkan askar-askarnya mengumpul seribu orang dari jalanan dan menembak mereka.

Tetapi oleh kerana penduduk Di Sana bersikap khianat dan licik dengan sentiasa berbaik-baik dengan askar-askar tersebut,  semangat anggota tentera begitu rendah hinggakan tiada seorang pun bersedia memilih seribu orang yang tidak melakukan apa-apa dan menembak mereka. Maka si Angkuh memberi arahan itu kepada trup penghapusan khas. Namun para pegawainya  memberitahunya bahawa askar-askar biasa berasa amat susah hati dan pemberontakan mungkin terjadi, sekiranya seribu orang ditembak.

Dan si Angkuh menerima surat daripada mereka yang berada dalam kedudukan berpengaruh di tanah air, yang menulis: "Kuasa Tertinggi! Tuan telah membuktikan kebolehan tuan sebagai seorang fil marsyal dan menunjukkan bakat ketenteraan tuan, dan kami mengucapkan tahniah kepada tuan di atas kemenangan tuan yang mengagumkan dan tidak terkira banyaknya. Namun kini kami meminta tuan pulang dan membiarkan orang Di Sana yang tidak siuman itu berbuat sesuka hati mereka. Mereka menyebabkan kita mengalami kerugian. Jika kita terpaksa menempatkan seorang askar dengan submesin-gan di belakang setiap pekerja dan mengancam untuk menembak mereka, dan seorang jurutera yang memberitahu mereka apa yang harus dilakukan, maka kesuluruhan penaklukan ini macam mana pun tidak menguntungkan. Harap pulang ke tanah air kerana negara kita yang tercinta ini sudah sekian lama tidak menikmati kehadiran tuan."

Maka si Angkuh menyuruh tenteranya pulang, mengarahkan mereka merampas apa sahaja jentera yang berharga dan barangan lain yang dapat mereka angkut, dan kembali ke tanah air sambil menyumpah seranah.

"Tapi kita hentam mereka!" ujarnya dengan nada geram. "Dasar pengecut. Apa yang si bahlul tu semua akan buat sekarang? Macam mana mereka akan tahu siapa jurutera, siapa doktor, dan siapa pembuat kabinet? Tanpa sijil dan diploma! Macam mana mereka akan tentukan siapa yang akan tinggal di vila dan siapa tinggal di apartmen, jika mereka tidak dapat buktikan apa kepunyaan mereka? Macam mana mereka akan hidup tanpa surat tanah, tanpa rekod polis atau lesen pemandu, tanpa gelaran atau uniform? Mereka akan menghadapi keadaan yang mengelirukan! Dan semuanya dilakukan supaya mereka tidak perlu berperang dengan kita, dasar pengecut."


Author's comments


This site has content self published by registered users. If you notice anything that looks like spam or abuse, please contact the author.